Oleh: albangi
"Menjelang puasa Ramadan Al-Mubarak bulan Ogos ini, masyarakat Melayu Mulsim akan berdepan dengan 3 isu lazim yang kadang-kala membawa kepada pertengkaran yang tidak perlu.
Pertama, ada kelompok yang mahukan solat tarawikh dibuat sebanyak 8 rakaat dan 3 witir, manakala ada kelompok yang mahukan solat tarawikh 20 rakaat dan3 witir. Akibat perbezaan pendapat ini, maka ada orang dan kumpulan yang akan bermasam muka dalam isu ini sehingga memutuskan silarrahim.
Di Mesir, pernah berlaku pertengkaran dan pergaduhan yang hebat dalam kalangan orang Muslim mengenai solat tarawikh 8 rakaat atau 20 rakaat. Lantas apabila As-syahid Hassan Banna berhadapan dengan kemelut ini, beliau bertanya kepada kedua-dua kelompok ini: Apakah hukum solat tarawikh? dan apakah hukum memutuskan silaturrahim?
Mereka menjawab solat tarawikh itu sunat, manakala memutuskan silatarrahim lebih daripada 3 hari adalah haram.
Jelas bahawa yang wajib mesti lebih utama dari sunat. Dalam isu ini, sebenarnya terserah kepada individu Muslim untuk lakukan solat 8 rakaat atau 20 rakaat secara berjamaah di masjid dan surau sepanjang bulan puasa Ramadan.
Bagi pihak kerajaan yang mewajibkan semua masjid atau surau mesti lakukan 20 rakaat adalah suatu yang tidak bijaksana. Yang wajar ialah keputusan menentukan 8 atau 20 rakaat diserahkan kepada AJK Masjid atau Surau yang lebih arif akan latarbelakang kariah masing-masing.
Individu Muslim boleh buat keputusan dengan meneliti hadis Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda bersabda yang maksudnya orang yang melakukan amalan yang wajib dalam bulan Ramadan akan diberikan pahala berpuluh kali berganda, manakala 0rang melakukan amalan sunat dalam bulan Ramadan akan diberikan pahala yang sama seperti pahala wajib. Maka wajarlah kita berebut mengutip pahala kebajikan dan hasanah dengan membanyakkan amalan sunat termasuk solat sunat. Kaedah menunaikan solat ini boleh dilakukan secara berjemaah dan boleh juga dilakukan secara individu. Ertinya kalau ada individu yang mahu solat sunat tarawikh atau solat malam dan bermunajat kepada Allah secara sendirian, maka ia tidak menjadi kesalah dan tidak harus dicemoh. Individu itu juga tidak harus rasa bersalah.
Apapun, sejarah solat tarawikh menunjukkan Nabi s.a.w. tidak melakukan solat sunat (tarawikh) bersama para sahabat secara berjamaah dalam bulan Ramadan. Pernah para sahabat melihat Nabi s.a.w. melakukan beberapa bersolat dua rakaat selepas sunat Isya pada hari pertama Ramadan. Kemudian ada sahabat yang mengikut solat di belakang Nabi. Apabila masuk hari ke dan ke 3, semakin ramai sahabat yang turut solat sunat di belakang Nabi s.a.w. Pada hari-hari seterusnya, Nabi tidak lagi berada di masjid selepas solat sunat Isya kerana bimbang para sahabat akan menanggap solat sunat (tarawikh) itu adalah wajib atau mewajibkan diri mereka untuk berbuat demikian.
Tetapi di zaman Khalifah Abu Bakar As-Sidiq beliau menganjurkan solat sunat tarawikh 8 rakaat secara berjemaah bagi memakmurkan solat di bulan Ramadan untuk mengambil manfaat dan pahala kebajikan yang berganda.
Apabila Syaidina Omar Ibn-Khattab yang berada di Madinah ketika itu mendapati penduduk Mekah berbuat demikian dan menyedari meskipun penduduk Mekah melakukan solat 8 rakaat, pahala solat di Mekah beribu kali ganda, maka Syaidina Omar menganjurkan solat sunat tarawikh 20 rakaat bagi “mengejar’ pahala yang sama yang diterima oleh penduduk Mekah.
Kesimpulannya, sebagai Muslim dewasa, kita harus faham apa dan kenapa solat tarawikh itu dilakukan, dan kita tidak perlu bertengkar dan tidak perlu bermasam muka serta tidak perku memandang rendah atau memandang serong pada orang yang menunaikan solat tarawikh samada 8 atau 20 rakaat.
Isu lazim yang ke 2 ialah bacaan dalam solat dalam sunat tarawikh. Adakah bacaan dalam solat sunat tarawikh itu MESTI bacaan hafazan satu juzuk untuk setiap malam? Apakah ia satu keperluan? Apakah ia suatu amalan WAJIB?
Kalau tujuan membaca al Quran itu untuk menyemak bacaan, apakah mesti semakan hafazan dibuat dalam solat tarawikh sehingga solat itu menjadi panjang dan menyukarkan orang tua untuk berdiri terlalu lama dan membuat budak-budak muda tidak boleh bertahan lama dalam solat? Apakah semakan bacaan hafazan tidak boleh dibuat di luar solat dalam amalan tadarus hingga khatam al-Quran menjelang akhir Ramadan?
Bukankah Nabi s.a.w. pernah bersabda jika ada orang tua dan kanak-kanak bersolat bersama, maka imam hendaklah memendekkan solat?
Bukankah makna “tarawikh” itu rehat, dan kalau berdiri terlalu lama kerana mahu menghabiskan satu juzuk dai Quran setiap malam dalam solat tarawikh, maka ia bukan lagi “rehat”, tetapi menyulitkan orang jamaah solat tarawikh?
Maka tidak hairanlah, masjid dan surau penuh dalam minggu pertama Ramadan, berkurangan dalam minggu ke 2 dan ke 3, dan penuh semula pada minggu akhir Ramadan.
Kesimpulan dalam isu ke 2 ini ialah membaca al-Quran dalam bulan Ramadan adalah amalan sunat yang berganda pahalanya; membacanya hingga khatam lebih dari sekali juga adalah suatu yang mulia, tetapi usaha ini tidak mesti dibuat dalam solat tarawikh kerana ia boleh dibuat di luar solat khususnya jika ahli jamaah terdiri dari warga emas dan kanak-kanak.
Isu lazim ke 3 ialah imam muda yang hafiz Quran bawah umur 18 tahun menjadi imam dalam solat tarawikh atas alasan imam yang hafiz Quran ini akan dapat menghabiskan satu juzuk setiap malam dalam solat tarawikh. Kalau inilah tujuannya, maka masjid dan surau harus menilai semula tujuan ibadah sunat ini dan kaitannya dengan isu pertama dan isu ke 2.
Dari sudut hukum adalah tidak salah bagi imam hafiz bawah umur 18 tahun menjadi imam memimpin solat tarawikh, tetapi adalah lebih afdal imam hafiz yang lebih berusia menajdi imam di depan orang-orang tua dan lebih dewasa. Bagi sesetengah orang tua, mereka berasa lebih selesa berada dalam saf makmum di belakang imam hafiz yang sebaya mereka atau muda sedikit daripada usia mereka dan bukan di belakang imam yang kelihatan seperti budak atau kanak-kanak walaupun budak atau kanak-kanak itu adalah hafiz.
Kesimpulan dalam isu ke 3 ini ialah dalam menentukan imam untuk memimpin solat tarawikh, AJK Masjid dan Surau harus ambil kira demografik dan sosio-psikologi ahli kariah dan jamaah yang hadir agar perbezaan umur antara imam dan makmum tidak terlalu jauh tidak menjadikan makmum gusar dan tidak selesa dalam solat. Apakah keikhlasan diri untuk beribadah akan cair kerana merasa diri terpaksa dalam melakukan amalan sunat yang mulia in?
Atau apakah lebih baik dilakukan solat 4 rakaat (tarawikh) disusuli dengan tazkirah atau membaca alQuran beramai-ramai; kemudian pulang ke rumah, rehat, tidor dan kemudian bangun solat malam untuk bermunajat kepada Allah secara bersendirian, 1 dengan 1 bersama Allah? Kemudian membaca al-Quran sambil menunggu sahur dan kemudian, solat subuh berjamaah.
Wallahualam.
http://albangi.wordpress.com/2011/07/29/3-isu-lazim-dalam-bulan-ramadan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan