Sabtu, 1 September 2012

Subjek Sejarah berat, serius

Ahad 2 Sept.2012
KESINAMBUNGAN...generasi muda hari ini bakal meneruskan kesinambungan 
sejarah negara. - Gambar hiasan
KESINAMBUNGAN...generasi muda hari ini bakal meneruskan kesinambungan sejarah negara. - Gambar hiasan
DIBANDINGKAN keberuntungan hidup antara generasi dulu dan kini perbezaannya ibarat langit dan bumi.
Generasi dulu terpaksa berhempas pulas demi meneruskan kelangsungan hidup, padahal golongan muda hari ini menikmati kesenangan dalam pel­bagai aspek pembangunan, kemudahan dan modenisasi.
   
  • Foto 
  • Foto PELB
Malangnya, kepelbagaian kemudahan itu turut menjadikan mereka kurang peka terhadap tuntutan memartabatkan perjalanan sejarah hingga menganggapnya tidak penting.

Justeru, timbul tanggapan mereka dilabelkan sebagai generasi buta
sejarah hingga menimbulkan polemik dalam masyarakat yang tertanya-tanya apakah kemampuan golongan itu mengemudi negara kelak tanpa sikap patriotisme asli.
Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan mereka alpa? Masyarakat­kah yang bersalah kerana lepas tangan atau proses pembangunan yang terlalu pantas menyebabkan golongan itu hanya mengejar keperluan material.

Pensyarah Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ishak Saat berkata, generasi muda hari ini dikelilingi kesenangan dan kemudahan dan jarang didedahkan dengan kesusahan serta perjuangan masyarakat terdahulu.

Subjek Sejarah di sekolah yang hanya bersandarkan peperiksaan semata-mata juga menyumbang kepada kekurangan penghayatan sejarah di kalangan golongan muda.

“Fenomena ini menyebab­kan semangat patriotisme boleh dipersoalkan, malah lebih menyedihkan mereka melihat sejarah dan mentafsirkannya berdasarkan pemahaman sendiri.

“Mereka membuat penaf­siran sendiri dan enggan menjiwainya. Jadi, jangan menunding jari jika golo­ngan berkenaan buta sejarah sebab mereka diajar
dengan pendekatan seperti itu,” katanya.

Isu generasi muda hari ini yang menganggap sejarah sebagai aspek picisan cukup membimbangkan, apatah lagi mereka juga gagal menunjukkan semangat patriotik mendalam terhadap negara seperti generasi terdahulu.

Keadaan ini menimbulkan polemik dan kebimbangan di kalangan masyarakat me­ngenai kecenderungan masa depan generasi ini dalam mengemudi negara suatu hari nanti.

Beliau berkata, sejarah mesti diajar dengan prinsip supaya tidak dikuasai golongan tertentu semata-mata, sebaliknya perlu dikongsi bersama.

“Malangnya, hanya golongan tertentu saja mendominasi perjalanan serta cerita sejarah ini manakala selebihnya hanya diberi ‘sedikit’ saja pengetahuan mengenainya.

“Ini turut menjadikan minat yang sedikit semakin merudum. Dalam hal ini, bukan salah sepenuhnya generasi muda andai kata mereka tidak minat kerana mekanisme digunakan bagi menarik minat mereka juga kurang tepat,” katanya.

Bagaimanapun, itu bukan alasan terus mengetepikan tanggungjawab untuk menarik minat generasi muda lebih peka terhadap perjalanan dan kepentingan sejarah.

“Jika tahu mereka jauh, apa salahnya kita menarik semula perhatian golongan itu dengan mekanisme tertentu.

“Jangan pisahkan mereka dengan sejarah kerana ini adalah kelangsungan dan kesinambungan perjalanan negara. Kalau bukan mereka yang meneruskannya siapa lagi,” katanya.

Ditanya adakah sukar ingin memupuk minat golongan terbabit terhadap sejarah, beliau berkata, ia tidak sukar kerana panda­ngan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber.

“Mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat de­ngan mudah, jadi ma­syarakat perlu menggunakan peluang ini bagi mendekati golongan sasaran.

“Malangnya, apa dilakukan secara bermusim seperti hanya pada bulan kemerdekaan sedangkan penghayatan sejarah perlu sepanjang masa agar sentiasa mantap.

“Mekanisme digunakan tidak cukup, jadi tidak hairan mereka langsung tidak tertarik,” katanya.

Katanya, generasi dahulu lebih prihatin kerana sistem pendidikannya tidak terlalu berorentasikan peperiksaan.

“Malah, guru dulu sanggup berkorban demi mening­katkan semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Bagaimanapun, cabaran dulu dan kini berbeza. Generasi dulu lebih fokus pada pembinaan jati diri tapi kini penghidupan lebih mencabar dengan pembangunan semakin rancak selain materialistik.

“Tapi, jiwa patriotisme juga mesti dititikberatkan. Kita tidak mahu melahirkan
generasi cerdik pandai tetapi buta sejarah negara sendiri,” katanya.

Mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah, Mohamad Husairi Hanafi mengakui, generasi muda kurang berminat pada sejarah kerana beranggapan ia aspek yang leceh, sukar dan tidak penting.

Menurutnya, faktor dibesarkan selepas zaman kemerdekaan serta hidup dikelilingi kemudahan juga menjadi penyebab mereka enggan ‘membebankan’ fikiran dengan fakta sejarah.

“Sejarah selalunya diang­gap aspek berat, serius selain hanya untuk orang lama, sebab itu kurang mendapat tempat di hati generasi muda.

“Pemahaman kurang jelas juga menjadikan mereka tidak berminat, sekali gus bakal memberi kesan jangka panjang.

“Malah, saya mengakui golongan muda hari ini lebih suka pada kebebasan,” katanya.

Rakannya, Emy Nazira Embong berpendapat, kecenderungan generasi muda kepada aspek keseronokan mendorong mereka ‘mengabaikan’ kepentingan sejarah.

“Biarpun subjek itu diajar, mereka tidak mendalaminya secara serius. Pada mereka, buat apa (belajar) sedang­kan negara sudah mencapai kemerdekaan.

“Tanggapan seperti itulah yang membuatkan mereka ambil mudah dan mengang­gap sejarah tidak penting, padahal sebuah bangsa berjaya kerana sejarahnya,” katanya.
hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan