Selasa, 4 September 2012

Misteri Kisah Baitulmaqdis dan Haikal Sulaiman

Rabu 5 Sept.2012

"Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud 'tempat yang aman untuk didiami'.

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu IslamYahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.




Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai 'Mount Temple' disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya 'Mount Temple' sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti 'City of the Temple' yang mengambilkira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.

Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling 'Mount Temple' ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama 'Aelia Capitolina' yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan 'Mount Temple' pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al-Khattab, nama 'Mount Temple' telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.

Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud 'masjid yang jauh', merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra' dan Mikraj yang mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.Wtelah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra' Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.

Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.

Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra' dan Mikraj. Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi 'Mount Temple' dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Sumber:http://silverheritage.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan