Isnin, 11 Mac 2013

Syria ke arah demokrasi


Isnin 11 Mac 2013

Di dalam situasi berperang yang masih berlarutan, serangan tidak henti-henti dilakukan oleh rejim Assad ke Halab, rakyat Syria di Halab telah menjalankan satu pilihanraya bagi memilih dan membentuk Majlis Tempatan Wilayah Halab, pilihanraya pertama selepas revolusi Syria dua tahun lepas.

(Ibrahim paling kiri, antara yang mendapat undi paling banyak)

Pada 1 hingga 3 Mac, saya telah dijemput untuk menghadiri satu konferans dan pilihanraya Local Administration Council of Aleppo sebagai tetamu khas dari Malaysia dan pemerhati pilihanraya mewakili  Malaysia Lifeline for Syria.

Konferans dan pilihanraya ini telah diadakan di Gaziantep, Turkey 40 kilometer dari sempadan Syria berikutan isu keselamatan iaitu serangan terbaru yang dilakukan oleh tentera Assad, meggunakan roket Skud.
Seramai 225 wakil daripada setiap kawasan Halab, yang datang dari dalam Syria untuk menghadiri konferens ini seterusnya membuang undi pada pilihanraya kecil Halab.

Perjalanan pilihanraya


Wilayah Halab dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Utara Halab, Selatan Halab, Timur Halab, Barat Halab dan Bandar Halab.

Wakil yang terdiri daripada 224 orang itu akan mengundi bagi memilih 25 orang bagi kerusi Bandar Halab dan 29 orang bagi kerusi Wilayah Halab.
Daripada 54 orang yang memenangi kerusi ini akan memilih seorang gabenor dan 10 orang exco yang akan memegang badan masing-masing seperti badan kesihatan, pendidikan, kecemasan, kejuruteraan, perkhidmatan air dan elektrik, kebersihan dan ekonomi.

4 kuasa yang terpisah daripada majlis ini adalah badan kehakiman, media, Free Syria Army dan pihak pengaman polis.

Jelasnya, Majlis Tempatan Halab ini bukannya mewakili mana-mana pihak seperti tentera pembebasan Syria (FSA), ianya adalah daripada rakyat awam Syria sendiri. 


Kepentingan pilihanraya dan majlis tempatan

Walaupun pilihanraya ini tidak begitu sempurna dan masih jauh daripada proses demokrasi kerana tidak mewakili seluruh penduduk Halab dan tiada masa untuk calon berkempen, namun ini adalah satu langkah awal ke arah proses pendemokrasian Syria.

Halab telah memulakan langkah ini, dan seterusnya akan diikuti oleh wilayah-wilayah lain di Syria.

Di dalam situasi yang teruk di Halab akibat peperangan yang masih berterusan, mereka memerlukan satu majlis untuk mengurus proses kehidupan harian mereka.

Sampah yang merata-merata yang tidak diurus dengan baik, sehingga telah tersebar satu wabak yang baru bagi penduduk Halab terutamanya kanak-kanak.

Elektrik telah terputus selama lebih 6 bulan, dan mereka terpaksa menggunakan generator yang memerlukan petrol yang agak mahal.

Ekonomi juga telah lumpuh, dan mereka memerlukan pusingan duit untuk meneruskan kehidupan. Bantuan-bantuan yang datang dari luar tidak diurus dengan baik disebabkan tiada kesatuan.

Masalah-masalah seperti inilah yang terpaksa diuruskan dengan telus oleh Majlis Tempatan Halab selepas ini, malah seribu satu masalah lagi yang terpaksa mereka selesaikan.

Selain itu, proses pilihanraya ini juga bagi menolak tangkisan penganilis politik yang mengatakan bahawa sekiranya rejim Assad jatuh, Syria juga akan menghadapi masalah kerana perpecahan yang berlaku di dalam tentera dan tiada pengalaman demokrasi sebelum ini.


"Pilihanraya ini adalah mesej kepada Basyar Assad dan seluruh dunia bahawa rakyat Syria sudah sedia ke arah negara yang demokrasi.

"Jika sebelum ini kami mampu hidup tanpa diskriminasi, tak pernah ada masalah diantara Islam dan Kristian, Arab dan Kurdi.


(Penulis bersama Muaz Khatib)

"Kami tidak mahu negara kami diperintah oleh rejim yang hanya tahu memusnahkan dan merosakkan negaranya sendiri. Kami sudah sedia untuk memerintah," kata Muaz Khatib, presiden National Coalition for Opposition force and the Syrian Revolution.

"Kami hanya mahu tidur tanpa rasa takut," tambahnya lagi, merujuk kepada rakyat Syria sebelum ini didalam ketakutan dan tiada kebebasan setelah diperintah lebih 40 tahun oleh Assad.

Tahniah saya ucapkan kepada rakyat Syria yang telah berjaya menjalankan pilihanraya telus yang pertama setelah lebih 40 tahun mereka ditipu di dalam pilihanraya.

Jikalau sebelum ini, pilihanraya presiden yang berlaku, Bashaar Assad telah memenangi 99 peratus undi daripada calon-calon palsu yang lain.
Kata pensyarah saya "Jikalau Nabi sekalipun yang bertanding, tidak akan menang dengan 99 peratus undi".


* Penulis merupakan seorang sukarelawan Save Syria dan Malaysia Lifeline For Syria. Sedang menuntut di Necmettin Erbakan University (M.A Philosophy and Religion), Turkey. 

harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan