Ahad, 10 Mac 2013

Kedegilan membawa padah, idaman berkecai

 

Ahad 10 Mac,2013

Ahmad Baei Jaafar
Begitulah akibat perjuangan tidak berstrategi, bukan sahaja duit yang dituntut tidak dapat, negeri apalah lagi, nyawa pun hilang. Tindakan mereka yang tidak bertamadun itu akan membawa kepada kehancuran dan kebinasaan. Jadi, apalah yang hendak mereka pertahankan lagi sehingga kini?
Kita ketepikan dahulu tuntutan dan dakwaan mereka terhadap Sabah, tetapi kita hendak lihat pada strategi  perjuangan mereka. Mereka datang berkampung di Lahad Datu, pada asalnya adalah untuk ziarah keluarga mereka di situ, tetapi akhirnya membentuk satu pasukan pemerontak.
Dalam hal ini kita puji kecekapan mereka memasuki Malaysia dengan selamat. Ya, barangkali kerana mereka sudah terlalu biasa di situ, jadi boleh masuk tanpa ragu. Atau mungkin mereka masuk dengan menggunakan IC Malaysia.
Sebenarnya di segi adab sopan, memang mereka kalah, mungkin kerana agama dan Islam mereka tidak sehebat kita di sini. Yalah, mereka diberi kebenaran untuk tinggal di rumah kita, tetapi mereka berani menentang tuan rumah, dan membuat tuntutan yang tidak munasabah pula. Barangkali kalau mereka masih di pantai dan menentang dari pantai agak munasabah juga.
Untuk itu wakil kerajaan melalui polis telah membuat perbincangan dan perundingan beberapa kali dengan mereka, namun keputusan masih buntu. Mereka tetap dengan permintaan asal. Tindakan itu ternyata tidak cerdik, dan lebih tidak cerdik lagi apabila mereka berjaya menbunuh polis kita. Tindakan tiada beradab itu ternyata membangkitkan kebencian rakyat Malaysia kepada mereka.
“Mereka dakwa Sabah mereka punya, maka sebab itu mereka tidak mahu pulang.” Dakwaan itu sendiri sudah tidak betul kerana mereka sendiri mengaku kerajaan menyewa Sabah daripada mereka. Kalau Sabah sudah disewakan, mana lagi rumah mereka yang didakwakan itu? Contoh yang mudah, saya ada rumah, tetapi saya sewakan kepada orang lain. Setiap bulan saya datang mengambil wang sewa. Agaknya kalau waktu datang untuk ambil sewa itu, saya ambil kesempadan untuk tidur di rumah itu, bolehkah? Sekejab mungkin boleh tapi untuk menetap memang tidak boleh. Penyewa boleh menghalaunya balik.
Begitulah sepatutnya kerajaan Malaysia lakukan terhadap mereka. Tetapi kita masih baik hati lalu memberi tempoh untuk mereka berundur. Malangnya mereka terus berdegil lalu membunuh polis kita. Inilah saya maksudkan tidak cerdik malah tidak sedar diri.
Sebenarnya mereka tidak layak berbuat begitu walau mereka mendakwa Sabah itu tanah mereka. Apatah lagi Malaysia menafikan menyewa dengan mereka. Dengan kemerdekaan Sabah dalam Malaysia bermakna Sabah sudah bebas daripada Sulu. Jadi, tiada isu untuk mengambil Sabah.
Jika mereka sedar diri dari awal lagi, tentu mereka tidak akan menyerang polis Malaysia. Apatah lagi kini ramai tentera mereka yang terkorban. Alangkah baiknya kalau mereka menyerah diri dan mungkin dengan keinsafan itu mereka boleh dibebaskan. Tetapi kalau masih berdegil, semuanya akan terkorban. Inilah yang kita tidak mahu berlaku.
Saya percaya kalau mereka terus berdegil walaupun pada asalnya mahu genjatan senjata, tindakan tegas akan diambil bagi membersihkan saki baki tentera kesultanan Sulu. Hal ini kerana kita akan memikirkan soal pilihanraya pula. Kalau lambat selesai, lambat pulalah pilihanraya.
Saya juga percaya krisis ini tidak ada kaitan dengan percaturan politik pemerintah mahupun pembangkang tetapi sudah dirancang oleh mereka sekian lama. Apa guna kerajaan nak main sandiwara sehingga mengorbankan anggota polis. Dan apa faedah pula pembangkang mencaturkan semua itu kerana mereka sedang impikan Sabah. Kalau jadi pertempuran, tentulah peluang mereka akan terbantut.
Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berdoa agar Sabah kembali tenang. Doakan juga agar mereka yang terkorban itu beroleh pahala syahid.
fikrahislamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan