Politik dan berpolitik tidak sama
Selasa 26 Mac,2013
Ahmad Baei Jaafar
Orang Melayu sehingga ke hari ini masih
terkeliru dengan politik meskipun kita sudah merdeka sekian lama. Hal ini
kerana kita sering diberi penjelasan yang salah tentang politik, apatah lagi
kita selalu dibui mimpi oleh orang politik yang umumnya amat tidak bermoral.
Menjelang pilihan raya ke 13 ini saya ingin
mengambil sedikit masa untuk membuat penjelasan tentang perbezaan antara
politik, orang politik, parti politik dan main politik. Semoga dengan ini kita
akan menjadi orang yang berpolitik secara profesional.
Politik dari sudut bahasa ialah mengurus,
mentadbir dan melaksanakan sesuatu urusan dengan sempura. Orang yang menguruskan
itu sudah tentu melaksanakannya secara bijaksana dan pandangan yang tajam. Jadi,
politik akan ada dalam urusan kerajaan, masjid, persatuan dan seumpamanya.
Jelas di sini, segala urusan untuk memajukan kerajaan,
mengatur ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat termasuk dalam urusan
politik. Begitu juga dengan urusan masjid, persatuan dan seumpamanya. Jika urusan
pentadbiran masjid gagal dan kemajuannya tidak seberapa, ini bermakna
politiknya lemah.
Orang politik ialah orang terlibat dalam urusan
memajukan negara dan mengurus rakyat agar menjadi orang yang berjaya. Orang politik
bekerja keras dengan merancang dan mengeluarkan idea yang baik untuk
membangunkan negara dan keselamatan rakyat.
Parti politik ialah persatuan atau pertubuhan
yang terlibat secara langsung dalam urusan kerajaan iaitu mengurus, mentadbir dan
membangunkan negara. Parti politik dianggotai oleh orang politik. Jadi, parti
politik digerakkan oleh orang politik. Maknanya berjaya atau tidaknya parti
politik itu banyak bergantung kepada kualiti orang politik yang
menganggotainya.
Orang politik dalam menjalankan tugasnya kadang-kadang
akan “main politik” atau “berpolitik”. Mereka akan main politik apabila berniat
jahat untuk menjatuhkan orang lain (musuh politik). Mereka akan memburukkan
lawan dengan membuat fitnah atau meniti atas kelemahan musuhnya. Sebenarnya main
politik ini juga berlaku dalam persatuan dan masjid bahkan dalam pejabat.
Sebahagian mereka “berpolitik” dengan baik dan
secara profesional dalam memajukan negara dan rakyat. Mereka tidak menjatuhkan
musuh secara jahat tetapi dengan menunjukkan
hujah yang baik sekali gus mematahkan hujah musuh atas kelemahan hujahnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, kita lihat pada
hari ini, orang politik banyak main politik daripada berpolitik. Apabila keadaan
ini berleluasa, parti politik dilihat dalam banyak hal gagal melaksanakan
pengurusan kerajaan dengan cekap terutama dalam membangunkan negara dan rakyat.
Saya percaya kalau orang politik boleh
berpoltik secara profesional, bukan sahaja mereka tidak bermusuhan dengan parti
politik lawan, malah negara akan bertambah maju dan rakyat berada dalam aman. Malah
rakyat boleh bebas bercakap dan bergerak dalam negara.
Sehubungan dengan itu suka saya menyentuh sedikit
soal larangan bercakap politik dalam masjid. Larangan ini merujuk kepada aktiviti
parti politik. Maknanya orang politik dilarang menggunakan pentas masjid untuk
kempen parti politiknya. Masjid sepatutnya bebas daripada pengaruh parti
politik. semua orang tanpa mengira apa parti politik yang mereka sertai, boleh
masuk dalam masjid dengan aman.
Walau bagaimanapun penceramah dan jemaah masjid
boleh bercakap soal pengurusan dan pembangunan negara dan rakyat. Mereka boleh
memberi pandangan kepada pemerintah jika terdapat sesuatu yang tidak kena pada
pengurusan kerajaan. Bercakap dalam hal ini dibenar walaupun hakikatnya
termasuk dalam makna politik yang dijelaskan di atas. Wallahu aklam.fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan