Rabu, 6 Mac 2013


Hugo Chavez meninggal dunia

Khamis 7 Mac,2013


SEORANG penyokong Chavez menangis apabila mengetahui berita kematiannya di Caracas kelmarin.


CARACAS - Presiden Venezuela, Hugo Chavez meninggal dunia kelmarin akibat komplikasi penyakit kanser yang dihidapinya di sebuah hospital di sini.
Ekoran kematian Chavez, 58, Naib Presiden, Nicolas Maduro akan terus memerintah Venezuela sebagai pemangku Presiden sehingga pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 30 hari.
Menteri Luar, Elias Jaua mengesahkan pelantikan tersebut kelmarin, beberapa jam selepas Maduro mengumumkan pemergian Chavez yang mentadbir negara mengikut cara tersendiri selama lebih 14 tahun.
Menurutnya, tempoh berkabung tujuh hari telah diisytiharkan dengan semua sekolah ditutup selama seminggu manakala majlis pengebumiannya akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara sahabat Venezuela esok.
Semasa mengumumkan kematian Chavez, Maduro meminta rakyat Venezuela supaya meneruskan legasi Presiden tersebut.
Perasaan sedih turut dinyatakan oleh pemimpin pembangkang, Henrique Capriles yang tewas kepada Chavez dalam pilihan raya Presiden pada Oktober lalu.
Beliau yang dijangka menjadi calon pembangkang untuk menentang Maduro pada pilihan raya akan datang berkata: "Ini bukan masa untuk mengetengahkan perbezaan. Ini merupakan masa untuk penyatuan, masa untuk keamanan."
Dalam pada itu, Venezuela turut mengusir seorang daripada dua kuasa usaha Amerika Syarikat di negara itu selepas kematian Chavez.
Maduro memberitahu bahawa beliau yakin bahawa penyakit barah Chavez yang dikenal pasti pada Jun 2011 berpunca daripada perbuatan khianat musuh-musuh negara itu.
Beliau turut menyamakan situasi tersebut dengan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Sebelum ini terdapat tanggapan bahawa Arafat mati kerana diracun Israel.
Beberapa pemimpin kanan Chavez sudah lama mendakwa bahawa Amerika Syarikat (AS) mendalangi satu cubaan menggulingkan Presiden itu pada 2002.
Chavez juga kerap memainkan sentimen anti-AS bagi meraih sokongan rakyat.
Venezuela tidak menerima duta AS sejak Julai 2010 dan mengusir seorang lagi pegawai tentera AS pada 2006.
"Saya terlalu sedih sehingga saya tidak boleh bercakap," kata seorang kerani wanita berusia 39 tahun, Yamilina Barrios yang bekerja di Kementerian Industri.
"Beliau merupakan pemimpin terbaik negara ini," tambahnya.
Namun, semasa era pemerintahannya, Venezuela merekodkan kadar kes pembunuhan kedua tertinggi di dunia selepas Honduras dengan 56 orang untuk setiap 100,000 penduduk.
Presiden AS, Barack Obama ketika memberikan reaksinya tentang kematian Chavez berkata, kematiannya akan membuka lembaran baharu untuk Venezuela. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan