Ahad, 19 Disember 2010

Persoalan Agama: Sabar hadapi ujian dunia tidak lama
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Umat yang tenang menghadapi setiap musibah, ujian-Nya dijanjikan pahala di
akhirat

MAKSUD sabar adalah menahan diri daripada sesuatu yang sukar. Sabar terpuji yang
dituntut oleh Islam ialah sabar dalam mentaati Allah SWT, sabar dalam
meninggalkan larangan-Nya serta sabar dalam musibah yang ditakdirkan.
Banyak ayat al-Quran berbicara mengenai sabar. Antaranya, Allah SWT berfirman
dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Dan sungguh akan Kami berikan
cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna
lillahi wa inna ilaihi raaji'un (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan
kepada-Nya kami kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna
dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

Ucapan inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un adalah ucapan istirja' ketika
ditimpa musibah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada
Ummu Salamah, beliau bercerita: "Pada suatu hari, selepas menemui Rasulullah
SAW, Abu Salamah mendatangiku, lalu beliau menceritakan bahawa beliau telah
mendengar ucapan Rasulullah SAW yang membuat aku merasa senang.

Baginda bersabda: Tidak ada seorang daripada kaum muslimin yang ditimpa musibah,
lalu ia mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji'uun, lalu ia berdoa,
Allahumma' jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha (Ya Allah, berilah
aku pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik darinya),
melainkan doanya itu dikabulkan. Ummu Salamah berkata: Kemudian aku menghafal
doa darinya itu. Ketika Abu Salamah wafat, maka aku pun mengucapkan inna lillahi
wa inna ilaihi raaji'un dan berdoa: "Allahumma' jurnii fii mushibatii wa akhlif
lii khairan minha." Kemudian aku berkata kepada diriku sendiri: Dari mana aku
akan memperoleh orang yang lebih baik dari Ummu Salamah? Selepas masa `iddahku
berakhir, Rasulullah SAW meminta izin kepadaku. Ketika itu, aku sedang menyamak
kulit milikku lalu aku menyuci tanganku dari qaraz (daun yang digunakan untuk
menyamak). Lalu kuizinkan Baginda masuk dan kusiapkan untuknya bantal tempat
duduk yang berisi sabut.

Maka Baginda duduk di atasnya. Lalu Baginda menyampaikan lamaran kepadaku.
Selepas Baginda berbicara, aku berkata: Ya Rasulullah, keadaanku akan membuatmu
tak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat cemburu, maka aku takut engkau
mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya Allah akan mengazabku, sementara
aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak anak. Maka Baginda bersabda (yang
bermaksud): Adapun kecemburuanmu yang engkau sebutkan, maka semoga Allah SWT
menghilangkan darimu. Dan usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami
apa yang engkau alami. Dan keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya
keluargamu adalah keluargaku juga".
Maka Ummu Salamah menyerahkan diri kepada Rasulullah SAW dan kemudian Baginda
menikahinya. Selepas itu Ummu Salamah pun berkata: "Allah memberi ganti kepadaku
yang lebih baik dari Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW".

Begitu juga sabar dalam melaksanakan ketaatan serta meninggalkan pelbagai hal
yang diharamkan dan perbuatan dosa sebagaimana yang disebutkan dalam surah
al-Baqarah ayat 45 (yang bermaksud): "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)
dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." Manusia paling sabar adalah Nabi
sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari
Abu `Abdurrahman `Abdullah bin Mas'ud ra, beliau berkata: "Seakan-akan saya
masih melihat Rasulullah SAW sewaktu menceritakan seorang dari nabi-nabi ketika
dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari
mukanya sambil berdoa: Wahai Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka
tidak mengetahui."

Kepada saudara yang bertanya, sabar dengan ujian kehidupan dunia bukanlah satu
tempoh yang lama kerana pahala dijanjikan Allah sangat besar sebagaimana firman
Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 10, bermaksud: "Sesungguhnya hanya orang
yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan