Selasa, 20 September 2011

Nazri jamin dua akta baru tidak ‘keras’ banding ISA

September 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Datuk Seri Nazri Aziz berkata dua undang-undang baru yang hendak digubal tidak akan membawa elemen-elemen yang ‘lebih keras’ berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan.

Menjawab gesaan kumpulan pendesak agar undang-undang baru itu wajar mengekalkan roh ISA, Nazri (gambar) berkata, kedua-dua akta yang hendak digubal itu tidak akan bersifat “lebih menindas” sebagaimana telah dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.

Nazri juga berkata salah satu akta baru itu akan digunakan khusus untuk menangani keganasan manakala yang satu lagi bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan awam dengan tumpuan ke atas soal perkauman dan agama.

“Tetapi undang-undang ini, sebagaimana dikatakan oleh Perdana Menteri minggu lalu, mesti memenuhi dua isu fundamental,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia di sini hari ini.

Nazri berkata asas-asas yang akan digunakan ialah tiada tahanan hanya kerana ideologi politik dan penahanan pula hanya boleh diluluskan menerusi mahkamah.

“Ini adalah dua perlindungan,” katanya lagi.

Beliau juga berkata kedua-dua undang-undang itu akan tertakluk kepada perbahasan yang mendalam di Parlimen selain perbincangan dengan publik.

Nazri juga menyifatkan kritikan bahawa undang-undang itu akan bersifat lebih menekan berbanding ISA adalah pandangan mengarut.

“Jika mereka mengatakan bahawa ia akan lebih menekan dan masih diluluskan di Parlimen, maka pembangkang sudah tentu tidur,” kata beliau.

Mengulas desakan pembangkang yang mahu bekas tahanan ISA diberi pampasan berikutan pemansuhan akta itu, Nazri berkata, ia tidak harus dijadikan isu kerana mereka ditahan di bawah undang-undang yang sah pada ketika itu.

“Ia berlaku mengikut undang-undang... tidak perlu meminta maaf dan tidak perlu pampasan,” katanya.

Khamis lalu, Najib dalam perutusan khas Hari Malaysia mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

http://www.themalaysianinsider.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan