Selasa, 16 Ogos 2011


Al-Khayyam Pencipta kalendar

Oleh Hasliza Hassan

UMAR Al-Khayyam adalah ilmuwan yang terkenal dalam bidang matematik, astronomi,
falsafah, perubatan, dan turut dikenali sebagai seorang penyair yang hebat pada
zamannya.

Nama sebenar beliau ialah Ghayyathuddin Abu Al-Fath Umar bin Ibrahim Al Khayyam
atau Al-Khayya.

Beliau dilahirkan pada 1040 Masihi dan gelaran Al-Khayyam yang bermakna khemah
dikatakan diberi kerana bapanya seorang pembuat khemah.

Umar Al-Khayyam seorang berpengetahuan luas, sangat pintar dan menghafal banyak
hadis Rasulullah SAW.

Beliau banyak mengarang buku ringkasan mengenai alam tabii, menulis risalah
mengenai alam semesta dan syariah serta sebuah kitab besar dalam bidang aljebra
yang boleh menyelesaikan masalah tingkatan kedua dengan cara geometri dan
algebra.

Beliau menyusun kaedah penting ilmu pengiraan dan cara untuk menyelesaikannya
sehingga menjadikan kitabnya, Maqalat fi al-Jabr wa al-Muqabila dianggap sebagai
penemuan terbaru dalam ilmu algebra.

Beliau pernah diarahkan Sultan Saljuq-Malikshah Jalal al-Din bekerja di balai
cerap dan ditugaskan menentukan kalendar solat yang tepat.

Umar Khayyam berjaya memperkenalkan kalendar yang hampir-hampir tepat dan
dinamakan Al-Tarikh-al- Jalali.

Selain itu, beliau juga menyumbang dalam bidang lain seperti pembangunan kaedah
menentukan graviti dan dalam bidang metafizik, beliau menulis tiga buku.

Namanya turut menyerlah sebagai penyair terkemuka apabila hasil puisinya
Ruba'iyyat Al-Khayyam dalam bahasa Parsi diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh
Edward Fitzgerald.

Ruba'iyyat Al-Khayyam adalah keratan puisi empat bait, bait ketiga bebas
daripada ikatan bait manakala tiga bait yang lain pula terikat.

Manuskrip puisi itu mempunyai pengaruh sastera yang besar dengan tema dan makna
yang tersembunyi serta penuh falsafah yang dikagumi.

Umar Al-Khayyam adalah pencinta ilmu dan sentiasa berusaha menambah pengetahuan,
selain menyumbang ke arah pengembangan ilmu dalam pelbagai bidang.

Tidak hairanlah jika 30 risalah ilmiah dan empat bukunya dalam bidang matematik,
masing-masing tiga buku metafizik dan fizik serta masing-masing satu buku
mengenai algebra dan geometri, menjadi rujukan hingga hari ini.

Sumbangannya dalam pembangunan ilmu matematik dan geometri memberi faedah besar
kepada pengembangan ilmu pengetahuan dan menjadi sumber rujukan masyarakat
Eropah.

Umar Al-Khayyam menghembuskan nafas terakhir ketika mengerjakan solat selepas
membaca kitab Al-Shifa', karangan Ibnu Sina.

Kecintaannya kepada pengetahuan menjadikan tuntutan ilmu satu bidang tanpa
batasan Al-Khayyam. Beliau adalah ilmuwan yang dikenang kerana jasanya dalam
bidang ilmu, kebudayaan, pembangunan dan kecemerlangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan