Sabtu, 4 Disember 2010

Rahsia waktu mustajab hari Jumaat

JUMAAT mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri, hingga
dinamakan 'penghulu segala hari'.

Mengenai kelebihan hari itu, Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik
hari yang matahari terbit pada hari itu ialah Jumaat. Pada hari itu,
Adam dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan
pada hari itulah ia dikeluarkan darinya."

Jumaat juga dinamakan 'Yaumul-mazid' iaitu hari pemberian tambahan
kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak
kepada hambanya.

Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya
permohonan itu menepati waktu yang dinamakan 'waktu mustajab'.

Waktu mustajab tidak ditentukan, boleh jadi pada waktu pagi atau
petang, siang atau malam, ketika imam duduk antara dua khutbah atau
selepas solat Asar pada hari berkenaan.

Tujuannya ialah agar setiap hamba itu sentiasa beribadat dan berdoa
kepada Allah bukan pada masa-masa tertentu saja.

Rasulullah SAW bersabda: "Malaikat Jibrail datang kepadaku, sedangkan
di tapak tangannya ada sebuah cermin putih.

Ia berkata: "Ini adalah hari Jumaat, yang disediakan untukmu oleh
Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau.
"Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik.

"Aku (Muhammad) bertanya: "Titik apakah ini? "Dia menjawab: "Ia
adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa
kepada Allah pada saat itu, nescaya Allah memperkenankan
permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu segala hari."

Penghulu segala hari ialah Jumaat, kerana itu sebagai hamba Allah,
seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari
berkenaan, yang didatangkan seminggu sekali untuk beribadat kepada
Allah.

Ini bertepatan dengan tujuan kelahiran manusia di dunia ini, iaitu
untuk beribadat kepada Allah. Memang ada logiknya sekiranya kita
memperbanyak ibadat pada hari berkenaan.

--
Kepada semua banduan…menjadi mayat adalah tanda kita keluar dari “penjara dunia”, langkahan kaki kita adalah langkahan maut..menuju tempat menjadi mayat… Aku telah lama berkelakar.. hari ini kamu ketawakan aku.. bukankah kita semua akan menjadi mayat... Dan menjadi mayat juga adalah satu satunya cara berjumpa dengan Allah.. Tidak mahukah kita ingin berjumpa dengan pencipta kita?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan