Isnin, 18 Februari 2013

Polis Mesir dapat pistol baharu

 Isnin 18 Feb,2013

PROTES ganas yang sering tercetus di Mesir membuatkan anggota polis menuntut supaya mereka dibekalkan dengan senjata sepanjang masa untuk mempertahankan diri.


KAHERAH - Kementerian Dalam Negeri Mesir semalam bersetuju membeli 100,000 pucuk pistol 9mm baharu selepas anggota polis berpangkat rendah mengadakan tunjuk perasaan menuntut senjata yang lebih baik untuk mempertahankan diri mereka.
Pengumuman itu menamatkan tunjuk perasaan selama lima hari melibatkan beribu-ribu anggota polis.
Ia juga dilihat bakal mencetuskan provokasi daripada kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang mendakwa polis menggunakan senjata api ke atas penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.
Sejak tiga minggu lalu, kira-kira 70 orang penunjuk perasaan maut.
Seorang pegawai keselamatan memberitahu, keputusan membeli pistol baharu itu dibuat selepas mengkaji rungutan anggota polis yang tidak mampu mempertahankan diri apabila berlakunya serangan ke atas pusat keselamatan dan balai polis. Mereka juga diserang sewaktu demonstrasi.
Kolonel polis yang telah bersara, Ihab Youssef berkata, anggota polis berpangkat rendah, dikenali sebagai afrad dan omana dibenarkan untuk membawa senjata ketika bertugas.
Mereka kemudian perlu memulangkan senjata tersebut selepas waktu kerja.
Namun, mereka kini menuntut supaya boleh membawa senjata sepanjang masa. "Keadaan akan menimbulkan masalah kerana mereka tidak terlatih dan tidak tahu menggunakan senjata ini. Lebih buruk lagi jika polis boleh menjadi samseng selepas tamat waktu kerja," kata Youssef.
Anggota polis mahukan gaji tinggi dan kondisi kerja yang lebih baik.
Mereka juga kecewa kerana polis boleh dibicarakan di mahkamah tentera.
Selain pistol, kementerian sama turut bersetuju untuk mengkaji kenaikan pencen, jumlah rumah, hospital dan klinik untuk kegunaan anggota polis di seluruh Mesir. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan