Ciri-ciri ulama suk mudah dilihat
Ahmad Baei
Jaafar
Ulama suk atau
yang diistilahkan sebagai fasik boleh kita lihat secara jelas pada akhir zaman
ini. Ulama fasik yang disebut dalam hadis adalah pakej yang Allah datangkan
pada akhir zaman bersama dengan ahli ibadah yang jahil. Hal ini kerana ulama
pada akhir zaman tidak begitu berperanan dalam mendidik umat Islam ke arah
ibadah yang betul.
Hadis yang
dimaksudkan ialah:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ
عُبَّادٌ جُهَّالٌ ، وَعُلَمَاءُ فُسَّاقٌ " . ابن حبان
Maksudnya, daripada
Anas r.a dia berkata, Sabda Rasulullah: “Akan berlaku pada akhir zaman ahli
ibadah yang jahil dan ahli ilmu yang fasik.” (Riwayat ibnu Hibban)
Wujudnya ahli
ibadah yang jahil mungkin tidak memeranjatkan kita kerana mereka menjadi jahil
kerana tidak diajarkan ilmu yang betul oleh ulama atau mereka tidak mahu
belajar ilmu yang betul daripada ulama. Tetapi bagaimana dengan ulama fasik, bagaimana
pula boleh wujud ulama fasik sedangkan ulama itu adalah dalam kalangan orang yang
cerdik pandai Islam. Inilah yang perlu kita lihat secara tepat sekali gus
mengenali ciri-ciri ulama fasik ini.
Sebelum mengenal
pasti ciri-ciri ulama fasik itu, elok juga kita memahami maksud fasik. Sebenarnya
fasik kalau kita sandarkan kepada seseorang bermakna dia itu mengekalkan dosa
besar dan meremehkan dosa kecil. Jadi kalau ulama fasik bererti ulama itu mengekalkan
dosa besar dan meremehkan dosa kecil. Bayangkan kalau ulama ini berada di dunia
ini, sudah pasti akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.
Apa tidaknya,
ulama yang mengekalkan dosa besar mengajar umat Islam, tentu ilmu itu tidak
berkat atau ilmunya tidak tepat atau terseleweng. Maka dengan sebab itu lahir
ahli ibadah yang jahil. Jelas, wujudnya dua golongan ini menjadi cabaran kepada
Islam akhir zaman, malah mereka inilah yang banyak mengganggu perkembangan
Islam.
Rasionalnya begini,
apabila pendakwah cuba mendekati para ahli ibadah yang jahil, cuba didik mereka
ke arah membetulkan cara mereka melakukan ibadah, tiba-tiba datang ulama rosak ini
dengan beberapa ulasan yang meremehkan ilmu yang disampaikan itu. Kesannya, mereka
yang baru hendak disedarkan itu terus tawar hati dan kembali kepada asal.
Ciri-ciri Ulama
Fasik
Secara umumnya
ulama ini akan selalu menyanggah pandangan dengan apa yang dibawa oleh ulama
amilin, apatah lagi suara mereka disokong oleh golongan ramai. Walaupun secara
zahirnya, kita tidak dapat membezakan antara dua golongan ulama ini di sudut
pakaian dan percakapan, namun kita dapat menilai mereka melalui tindakan dan
kesan daripada tindakannya. Antara ciri-ciri ulama fasik ialah:
- Takut untuk menyampaikan kebenaran
- Menyembunyikan ajaran sebenar
- Perjuangan kerana dunia yang ditawarkan
- Cakap berbolak balik dalam sesuatu isu atau tidak berani berterus terang
- Hasad dengki dengan yang lain
- Bercakap agama atas kepentingan orang lain.
Untuk mudah
kita kenali ulama ini suka saya membawakan satu contoh terdekat iaitu isu perkataan
Allah. Baru-baru ini ramai ulama bercakap tentang perkataan Allah, namun tidak
seorang pun sanggup menjelaskan dengan baik sesuai dengan kehendak Allah. Akhirnya
orang ramai termasuk orang politik memahaminya secara tidak tepat.
Isu asalnya
amat kecil iaitu memohon kebenaran menggunakan kalimat Allah bagi menggantikan
perkataan God dalam bible berbahasa Melayu. Isu ini boleh selesai dengan mudah
iaitu dengan menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah tidak tepat bagi
menggantikan God, sebaliknya adalah lebih tepat kalau mereka menggunakan
kalimat Tuhan. Siapakah dalam kalangan ulama yang berani menjelaskan hal ini
kepada orang Kristian?
Kalau mereka
masih berdegil mahu menggunakan perkataan itu, kita boleh tanyakan kepada
mereka untuk apa digantikan Allah dalam bible Melayu sahaja? Belumpun mereka
memberi alasan, boleh kita jelaskan begini, kalau bible dalam bahasa Melayu
menyebut Allah sudah tentu untuk tujuan menarik perhatian orang Melayu. Perbuatan
ini adalah salah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka janganlah
diteruskan demi perpaduan. Adakah mana-mana ulama kerajaan yang cuba
menjelaskan begitu?
Jelas, tiada
ulama yang berani menjelaskan begitu kepada mereka. Sebaliknya mereka mengulas
bukan merujuk kepada isu sebenar. Lalu lahirlah pelbagai pandangan yang
antaranya, “siapa yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah
adalah kafir.” Pandangan ini sepatutnya bukan lahir daripada seorang ulama.
Ulama sepatutnya bukan sekadar ulas tetapi memberi ilmu
kepada umat Islam termasuk pemimpin politik; “Allah adalah tuhan sekelian Alam,
tuhan manusia tuhan binatang dan tuhan alam seluruhnya.” Kita wajib bertuhankan
Allah tanpa syirik tanpa sekutu dengan yang lain. Inilah yang sepatutnya
diulang-ulang ke telinga umat Islam. Perlu dijelaskan juga, selain orang Islam
ada golongan lain yang dinamakan kafir dan ada lagi yang dinamakan musyrik,
mereka ini menyengutukan Allah dengan tuhan-tuhan lain.
Sebenarnya Umat Islam juga boleh menjadi musyrik sama seperti
orang yang bukan Islam jika mereka bertuhankan harta, bertuhankan pangkat dan
jawatan di samping beriman dengan Allah. Bahkan orang Kristian juga termasuk
dalam golongan musyrik kerana mereka turut bertuhankan Isa dan Mariam di
samping percaya kepada Allah.
Selain itu kita tidak boleh nafikan agama hindu, budha dan lain-lain
juga percaya kepada Allah tetapi Allah itu telah disyirikkan dengan patung dan
berhala. Ilmu ini perlu dijelaskan kepada umat Islam dari sejak kecil lagi. Bahkan
kalau mampu maklumkan juga kepada orang bukan Islam. Mereka juga hendakkan
maklumat yang betul. Sama ada mereka hendak terima atau tidak terserah kepada
mereka. Allah yang boleh memberi hidayah kepada mereka.
Kalau ilmu ini dapat dijelaskan kepada anak-anak kita, apa
yang hendak dibimbangkan kalau ada risalah bible disebarkan ke sekolah-sekolah.
Mereka tidak akan terpengaruh dengan sebaran itu kerana ilmu asas sudah
tertanam dalam kepala mereka. Tetapi, kalau ilmu ini tidak disampaikan kepada
mereka, itulah sebabnya mengapa mereka bising dan riuh rendah degnan isu
sebaran risalah itu di sekolah baru-baru ini.
Saya hairan, mengapa sukar sangat ulama kita untuk
menjelaskan hal ini kepada umum. Kita takutkan siapa? Kita akur dengan larangan
menggunakan beberapa perkataan khusus untuk Islam seperti yang diwartakan. Tetapi
kita tidak ada hak untuk menghalang orang lain menyembah Allah kerana Allah
adalah tuhan sekelian alam.
Syirik tempatnya neraka
Soal mereka syirik kepada Allah tidak timbul sebab keadaan
mereka telah dijelaskan dalam al-Quran. Mereka yang syirik tempatnya adalah neraka
walaupun mereka beriman kepada Allah. Malah orang Islam sendiri kalau syirik
kepada Allah, nerakalah tempatnya.
Tegasnya, ulama yang tidak berani menjelaskan semua ini
dengan betul, maka hakikatnya mereka tergolongan dalam ulama fasik. Bagaimana dengan
anda? Marilah kita bertaubat dan kembalikan peranan kita dalam menyampaikan
ilmu kepada semua pihak. Percayalah kalau ulama kita bangun nescaya anak-anak
kita boleh terima dan faham tentang Allah sekali gus tidak mensyirikkan Allah. Pada
masa yang sama kita boleh jelaskan kepada mereka yang bukan Islam, agar mereka
faham dan kemudiannya memeluk Islam. Inilah kerja ulama amilin.
Ingatlah ulama fasik atau suk selain tidak ada tempat di sini
Allah di akhirat nanti, mereka di dunia ini akan dibenci oleh orang ramai. Hal ini
dijelaskan oleh hadis berikut:
عَنْ أَبي بَكْرٍ ، يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "مَنْ يَعْمَلْ سُوءًا ، يُجْزَ بِهِ فِي
الدُّنْيَا." أحمد بن حنبل
Maksudnya, daripada Abu Bakar dia berkata sabda Rasulullah
SAW: “Sesiapa yang melakukan kerja jahat akan dibalas di dunia ini lagi.”
(Riwayat Ahmad ibnu Hanbal)
Jadi, hentikan kerja jahat, lakukan kebaikan dan sebarkan
Islam dengan penuh tanggungjawab. Kita tentu tidak sanggup dihukum Allah di dunia
ini lagi. Kita tidak mahu dihina dan dicaci masyarakat kerana kita sangat perlukan
masyarakat. Wallahu aklam.fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan