Sabtu, 23 Februari 2013

'Masjid biru' di Woodlands kian selesai dipertingkat

HAMPIR SELESAI DIBANGUNKAN SEMULA: Masjid An-Nur yang menjalani kerja-kerja peningkatan sejak awal 2011 bakal mengalu-alukan kedatangan jemaah tidak lama lagi.
-
JIKA Istanbul di Turkey terkenal dengan 'Masjid Biru' yang nama sebenarnya Masjid Sultan Ahmed, Selangor bangga dengan 'Masjid Biru' yang sebenarnya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Singapura juga mempunyai 'masjid biru'.
Masjid biru Singapura ialah Masjid An-Nur di Woodlands, yang kian selesai dipertingkat.
Dulu masjid itu kusam dengan warna biru berdaki, kini ia tampak lebih menarik dengan warna biru gelap, biru muda dan putih yang dicorak mirip susunan batu-bata.
'Masjid Biru di Utara' dekat Koswe itu mula menjalani peningkatan pada awal 2011.
Sewaktu Berita Harian mengunjunginya kelmarin, masih kelihatan saki-baki kerja pembinaan, seperti tong cat dan beberapa pekerja menggali pasir di tepi masjid.
Pihak Masjid An-Nur sebelum ini menyatakan, apabila siap kelak ia boleh menampung hampir 4,500 jemaah - berbanding 3,500 sebelum ini - tetapi buat masa ini jemaah menggunakan musala sementara yang memuatkan sekitar 1,000 orang sahaja.
Bersebelahan musala itu pula terdapat bangunan dua tingkat yang menempatkan tadika dan bilik-bilik darjah lain.
Pembinaan semula masjid di Marsiling yang berusia 30 tahun itu menelan belanja sekitar $8 juta.
cyberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan