Wanita dan Isteri: Antara Hak dengan Tanggungjawab
Khamis 23 Februari,2012
KEBELAKANGAN ini masyarakat Islam di negara kita kerap kali dipaparkan dengan berita-berita dan ulasan-ulasan berkenaan penganiayaan atau pengabaian terhadap golongan wanita, terutama yang bergelar isteri. Walaupun hakikatnya dalam persoalan ini turut merangkumi anak-anak yang tidak mengerti apa-apa, namun kerana mereka masih lagi di bawah naungan ibu atau bapa, maka perbincangan tentang mereka tidak banyak dilakukan. Kalaupun ada yang melibatkan anak-anak dalam perbincangan, ia tetap diletakkan dalam pengabaian hak isteri yang bergelar ibu kerana apabila berlaku perceraian, pihak yang kerap terbayang dalam persepsi masyarakat akan membela dan menjaga anak-anak adalah si ibu.
Apabila hari-hari berita atau perbincangan mengenai wanita atau isteri ini hanya menekan hak-hak mereka yang tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikannya sama ada suami, bekas suami, ayah, dan sebagainya, maka lama-kelamaan perasaan memihak kepada wanita ini di kalangan masyarakat menjadi menebal. Tekanan yang ditimbulkan oleh berita-berita ini walaupun kadang-kadang tidaklah menggambarkan realiti yang sebenarnya telah membuatkan banyak individu dan banyak pihak yang tampil ke depan untuk memperjuangkan nasib manusia malang yang mendakwa dianiaya dan dinafikan hak mereka. Secara perbandingan, dapatlah dikatakan gambaran yang dipaparkan oleh laporan dan reaksi orang ramai tentang nasib wanita atau isteri di kalangan masyarakat Islam di negara ini samalah seperti nasib Palestin dan Lubnan di Timur Tengah yang dianiaya oleh Israel dan sekutunya.
Reaksi yang paling bernilai dan yang sudah pasti dihargai serta disanjung oleh golongan wanita ialah reaksi yang ditunjukkan oleh pihak kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal wanita dan keluarga di negara ini. Berbagai-bagai cadangan, inisiatif dan langkah yang telah dilakukan oleh pihak kementerian ini demi membela nasib golongan wanita yang teraniaya. Terdapat langkah yang diambil bersifat kempen secara diplomasi dan memujuk pihak lelaki supaya tidak menganiaya golongan wanita. Terdapat juga langkah yang dilakukan berbentuk obligasi undang-undang yang mesti dipatuhi oleh golongan lelaki yang terlibat. Pujian dan ucap terimakasih perlu dihulurkan oleh golongan wanita dan isteri kepada pihak yang telah memperjuangkan dan membela nasib mereka.
Bagaimanapun, jika secara rasionalnya kita meninjau punca-punca kepada pengabaian tanggungjawab atau lebih tepat lagi punca hak-hak wanita atau isteri ini tidak ditunaikan oleh pihak yang sepatutnya menunaikan, maka ada tiga sebab ia berlaku:
1. Kejahilan pihak lelaki terhadap kewajipan dan tanggungjawab yang mereka pikul dan sepatutnya ditunaikan terhadap orang yang di bawah tanggungan mereka. Lawan jahil ialah ilmu. Ilmu berkenaan tanggungjawab membela dan menjaga isteri serta anak-anak di kalangan golongan lelaki ini amat cetek, dan hampir-hampir tidak ada. Golongan lelaki ini hanya pandai mengambil faedah atau mengutip hasil daripada isteri dan anak-anak. Isteri digunakan sebagai alat pemuas nafsu. Kadang-kadang tidak kurang juga isteri digunakan sebagai ´buruh´ untuk mereka mendapatkan sumber pendapatan secara mudah. Golongan lelaki ini suka memerah tenaga yang ada pada isteri untuk kepentingan peribadi mereka. Bagaimanapun, ketika dalam keadaan harmoni dan sayang, seorang isteri sanggup mengorbankan tenaga dan hasil kerja mereka demi untuk suami yang disayangi. Penyeksaan ini hanya akan digembar-gemburkan apabila situasi sudah tidak harmoni lagi terutama apabila suami mempunyai hubungan dengan wanita lain sama ada sebagai teman wanita atau isteri. Pada ketika ini, secawan air kosong yang diberikan kepada suami pun akan diungkit dan diminta supaya diberikan ganti rugi.
Bagi mengatasi punca ini, golongan lelaki yang bergelar suami dan bapa mesti diberikan pengetahuan tentang kewajipan dan tanggungjawab mereka dari segi agama sejelas-jelasnya. Kursus perkahwinan yang mesti dilalui oleh setiap pasangan apabila hendak berkahwin mesti dimuatkan dengan penjelasan kewajipan ini secara mendalam dan berjiwakan agama, bukannya berjiwakan sijil kursus. Risalah-risalah berkala dan siaran-siaran media dari semasa ke semasa perlu menghidupkan jiwa golongan suami dan bapa agar sentiasa segar dengan ingatan terhadap kewajipan agama yang perlu mereka tunaikan.
2. Keengganan dan kecuaian suami dan bapa secara sengaja daripada memberikan hak kepada isteri dan tanggungan, walhal mereka berada dalam zon selesa, berkemampuan dan mempunyai akses pendapatan yang mencukupi untuk melayani keperluan keluarga. Isteri dan anak-anak pula tidak pernah buat hal yang boleh menyebabkan suami atau bapa tertekan dan berdemontrasi menunjuk perasaan dengan memotong bekalan hidup daripada sampai kepada mereka. Suami atau bapa kategori ini bukan sahaja berkemampuan melayani keperluan tanggungan mereka yang asasi malah mereka turut berkemampuan melayani keperluan ´luxury´ tanggungan. Namun segala kemampuan yang ada pada suami atau bapa itu sama ada diperap atau digunakan pada tempat lain yang tidak sepatutnya. Situasi yang lebih kritikal lagi ialah mereka cuba melarikan atau menyelamatkan diri apabila pihak isteri dan anak anak menuntut hak mereka ditunaikan. Turun naik mahkamah lebih direlai oleh golongan lelaki ini daripada menyerah diri menunaikan tanggungjawab keluarga secara sukarela. Berbagai-bagai jenis lakonan dan pelbagai bentuk saluran mereka gunakan untuk meneguhkan keengganan dan kecuaian mereka menunaikan tanggungjawab agama terhadap keluarga. Lelaki jenis ini sanggup belanja makan kawan-kawan sepejabat tetapi rasa amat berat sekali untuk mengeluarkan wang membayar yuran pembelajaran anak-anak di sekolah.
3. Suami atau bapa memang realitinya tidak mampu memenuhi keperluan sepatutnya bagi isteri dan anak-anak. Lebih-lebih lagi pada zaman perbelanjaan dalam segenap segi semakin meningkat ini. Sebab kedua ini lebih baik kita tidak mengistilahkannya sebagai pengabaian atau kecuaian menunaikan hak kerana memang mereka tidak mempunyai kemampuan. Sepatutnya mereka diberikan bantuan. Jika diteliti, mereka sudah pasti masuk ke dalam kategori fakir miskin yang layak menerima zakat daripada agihan Baitul Mal. Secara umumnya pula, isu-isu seperti ini jarang dan hampir tak pernah dilaung-laungkan oleh pihak pembela kaum wanita kerana ia tidak bersifat ´konfrantasi´ terhadap pihak lelaki. Dalam keadaan ini, kewajipan suami dan ayah telah berpindah kepada pihak lain samada kerabat atau Baitul Mal dalam memenuhi keperluan asasi ahli keluarga yang terlibat. Dalam keadaan seperti ini juga, tanggungan yang telah mempunyai akal fikiran untuk berfikir perlu mengamalkan pepatah Melayu ´ukur baju pada badan sendiri´ dalam melayani kehendak dan kemahuan memenuhkan keperluan hidup.
4. Suami atau bapa tidak menunaikan tanggungjawab kepada isteri atau anak-anak disebabkan tekanan emosi hasil daripada perlakuan-perlakuan kurang ajar dan tidak beradab yang dilakukan oleh isteri atau anak-anak terhadapnya. Perlakuan kurang ajar ini tidak dapat diterima oleh suami yang tidak pandai berkonfrantasi cara lain kecuali dengan memutuskan bekalan atau tanggungan hidup daripada sampai kepada orang yang ditanggungnya yang berperlakuan memeningkan kepala dan mengganggu emosinya. Suami atau bapa seperti ini pada asalnya memang ikhlas menunaikan tanggungjawab agama dan keluarga terhadap isteri dan anak-anak. Tetapi perlakuan-perlakuan tidak senonoh yang mengganggu emosi dan perasaannya ini telah menekan jiwanya untuk berubah kepada tidak menunaikan tanggungjawab tersebut. Tambahan pula tekanan emosi daripada pihak isteri atau anak ini berpunca daripada perlakuan kurang ajar yang berulang kali dan berterusan walaupun setelah ditegur dan diperingatkan oleh suami. Akhirnya, suami atau bapa yang juga sebagai manusia biasa mengambil keputusan bukan pilihan jiwanya tidak menunaikan tanggungjawab keluarga ini walaupun bukan tindakan itu yang sepatut dilakukannya.
Dengan kesibukan suami mencari nafkah keluarga, memaksa mereka menyimpan segala perangai hodoh dan kurang ajar isteri dalam benak fikiran dan ´freezer´ emosi. Mereka tidak berkesempatan untuk mengheret isteri ke mahkamah untuk memaparkan segala perlakuan hodoh isteri ke hadapan hakim mahkamah syariah walaupun kebanyakan perlakuan isteri mengikut pertimbangan syarak adalah termasuk dalam istilah nusyuz. Si suami berfikir, daripada membayar peguam untuk menguruskan perbicaraan mahkamah bekaitan perangai hodoh isteri, lebih baik wang itu digunakan untuk perbelanjaan yang sepatutnya.
Bagaimanapun, pihak isteri tanpa segan silu dan penuh berani mencari peguam-peguam syariéi yang boleh membantu masalah mereka. Setelah perbicaraan dan si suami sedar tindakan mereka memutuskan bekalan kepada tanggungan adalah salah, maka suami kembali menyara keluarga seperti sedia kala. Namun di dalam hatinya terpahat keberatan dan kebencian terhadap perangai isteri yang tidak senonoh. Si isteri pula, dengan kemenangan yang diberikan oleh mahkamah bertambah sombong dan bongkak meneruskan tindakan-tindakan yang kurang ajar dan biadab itu.
Dua sebab pertama suami tidak menunaikan tanggungjawab yang telah disebutkan di atas adalah bertentangan dengan semangat agama dan undang-undang sepenuhnya. Kesalahan memang terletak pada bahu suami. Si isteri dan anak-anak memang teraniaya dan terabai keperluan hidup hasil sikap suami yang tidak bertanggungjawab. Suami atau bapa seperti ini memang sewajarkan dilayan melalui peruntukan undang-undang yang ada dan yang bakal diadakan di hari-hari berikutnya. Sokongan padu mestilah diberikan kepada pihak pencadang dan pelaksana dalam mengusahakan supaya isteri dan anak-anak tidak lagi tersepit hidup disebabkan sikap dan tindakan suami atau bapa yang tidak bertanggungjawab. Berbagai-bagai kaedah boleh digunakan oleh pihak penggubal undang-undang syariah dalam menjayakan niat baik ini samada menggunakan kaedah masalah mursalah atau saddul zarai´. Hak wanita sebagai isteri mesti dipulangkan kepada mereka supaya dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan terelak daripada perkara-perkara buruk yang tidak diingini.
Sebab yang ketiga pula memang tidak dalah disalahkan samada dipihak suami atau isteri. Suami memang tidak berkemampuan. Namun dalam keadaan suami melayan keluarga dengan penuh kasih sayang isteri dan anak-anak merelakan diri mereka hidup serba kekurangan kerana yang diperlukan ialah seorang suami dan bapa, bukannya kemewahan atau kesenangan.
Manakala sebab keempat suami tidak menunaikan tanggungjawab menyara keluarga perlu kepada perincian. Tujuan tulisan di sini bukanlah untuk mengenal pasti siapakah yang bersalah atau siapakah yang tak bersalah dengan menyelidik kelemahan masing-masing secara mikro. Akan tetapi tujuan yang hendak dicapai di sini ialah membincangkan isu ini dengan menggarap aspek fizikal dan spiritual, aspek jasmani dan rohani, aspek dunia dan akhirat.
Memang betul, apabila suami tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dengan sengaja dan tanpa berlaku sebab-sebab yang menggugurkan kewajipan suami memberi nafkah, maka hukumnya adalah berdosa. Di dunia, melalui proses undang-undang, isteri boleh menuntut haknya. Peluang terakhir bagi isteri ialah meminta dipisahkan dan ditamatkan ikatan perkahwinan dengan suami. Di akhirat pula, suami akan dipertanggungjawabkan terhadap kesalahan dosa yang dilakukannya.
Bagaimanapun, jika pemberian nafkah digantung oleh suami dan ini tidak sepatutnya dilakukan disebabkan oleh perangai dan kelakuan hodoh isteri sama ada sampai tahap nusyuz atau tidak, tetapi termasuk dalam mengkasari dan derhaka kepada suami, maka di sini si isteri perlu memikirkan keselamatan dirinya selepas mati. Memang, kadang-kadang di dunia, perbuatan kasar dan tidak menghormati suami itu mendapat pembelaan adik beradik dan kaum kerabatnya terutama apabila diisteri pandai berlakon baik di hadapan mereka. Si isteri juga kadang-kadang dengan lakonannya yang indah dapat menarik simpati daripada berbagai-bagai pihak. Di mahkamah, pula kadang-kadang dengan penilaian luaran yang dilakukan oleh hakim, isteri diberikan kemenangan atas segala tuntutannya.
Akan tetapi si isteri perlu beringat, walaupun suami mengalah, tidak mahu menyibukkan diri dalam proses undang-undang kerana telah sibuk dengan berbagai kerja yang terpaksa dilakukan, namun perkiraan Tuhan Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui perkara zahir dan batin tetap berjalan terhadap perlakuan dan tindak tanduk si isteri. Selagi wanita bergelar isteri, taat adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan terhadap suami selagi suami tidak menyuruh melakukan dosa dan syirik kepada Allah Taala. Kerana imbalan ketaatan mutlak isteri kepada suami inilah, syariat telah mewajibkan suami membayar mas kahwin dan nafkah merangkumi tempat tinggal, makan minum, pakaian, rawatan dan keperluan asasi lain.
Sekiranya si isteri mencari sebab dan alasan untuk tidak taat kepada suami, maka carilah sebab dan alasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Sebab untuk tidak taat kepada suami tidak boleh direka atau diberikan oleh emosi marah, cemburu dan sakit hati yang ada dalam diri isteri sebagaimana sebab tidak memberi nafkah tidak boleh direka oleh suami berdasarkan emosi marah dan sakit hati di dalam dirinya. Sekiranya suami memutuskan tidak memberi nafkah kepada isteri berdasarkan emosi marah dan benci terhadap kelakuan-kelakuan isterinya tidak dapat diterima oleh mahkamah syariah , maka isteri perlu berfikir adakah perlakuannya tidak taat kepada suami, menyakiti hati suami dan menghina suami dapat diterima oleh ´Mahkamah Rabbul Jalil´ di padang mahsyar kelak. Sekiranya di dunia, isteri boleh berlakun di hadapan orang ramai untuk mendapat belas kasihan dan simpati, dapatkah dia terus berlakon di depan Tuhan Yang Maha Adil di akhirat kelak?
Hak isteri tetap akan menjadi hak hingga bila-bila. Apabila hak ini tidak ditunaikan oleh suami, maka ia perlu diperjuangkan supaya dapat dikembalikan semula melalui berbagai saluran dan wadah yang diharuskan oleh agama dan undang-undang. Begitu juga kewajipan isteri tetapi menjadi kewajipan selagi bergelar isteri. Kewajipan wajib ditunaikan dan haram diabaikan. Menunaikannya dapat pahala, manakala meninggalkannya adalah berdosa. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Manakala taat adalah hak suami yang wajib ditunaikan oleh isteri. Apabila suami mengabaikan tanggungjawab akan berdosa dan di dunia keengganan berterusan boleh dipenjaran. Maka, begitu juga apabila isteri mengabaikan kewajipan taat kepada suami akan dibalas dosa dan jika tidak diampunkan akan dipenjarakan di dalam api neraka. Kemungkinan dosa si suami akan diampun apabila telah menerima hukuman daripada hakin mahkamah syariah di dunia dan tidak diambil kira diakhirat kelak. Bagaimana pula dosa isteri yang tidak taatkan suami? Inilah yang perlu difikirkan oleh isteri apabila terlalu mengikut emosi membuat hukuman tidak mentaati suami.
Kesimpulannya, hak tetap hak. Ia perlu diperjuangkan. Namun, dalam memperjuangkan hak, jangan sampai lupa kewajipan. Ini kerana nikah bagi bangsa Melayu Islam adalah urusan agama. Nikah dilaksanakan mengikut tatacara agama. Kewajipan kesan daripada nikah juga adalah kewajipan agama. Maka, hukuman mengabaikan kewajipan ini juga adalah hukuman agama, iaitu dosa dan pahala di samping hukuman pentadbiran manusia di dunia yang diputuskan oleh mahkamah. Pertimbangan agama tidak boleh dibuang daripada semangat memperjuangkan dan menuntut hak, kerana jika aspek ini diabaikan ditakuti nanti hak dapat dituntut di dunia, tetapi isteri kecundang di akhirat apabila dibentangkan kewajipan yang tidak ditunaikan.
Oleh HASNAN KASAN
Pusat Pengajian Umum UKM
Pusat Pengajian Umum UKM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan