Daripada air mani yang bercampur....
Isnin 13 Feb.2012
Oleh: setisab
"
DENGAN merenungi proses penciptaan manusia, meneliti ayat-ayat Al-Quran dan berbekalkan ilmu, kita akan dapat melihat tanda kebesaran Allah dan menyaksikan kebenaran Al-Quran.
Dalam proses kejadian manusia misalnya, Allah menjelaskan bahawa ia melalui pelbagai tahap - bermula dengan persenyawaan antara benih daripada lelaki dan wanita, kemudian menjadi bayi yang cukup sifatnya.
Allah menjelaskan: 'Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya daripada air mani yang bercampur (dengan benih perempuan), serta Kami tetap mengujinya (yakni dengan kewajipan-kewajipan); Oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.' - Al-Insan: 2. - Sumber
Perkembangan zaman dan peralihan teknologi yang canggih dan peralatan terkini lagi moden telah menghasilkan beberapa penemuan terkini yang membuktikan kebenaran ayat-ayat Al-Quran. Penemuan itu menjelaskan tentang perkembangan kejadian janin atau embryo ini adalah benar, baik dari segi hujah mahupun fakta.
Malah, kajian mutakhir menunjukkan bahawa perkembangan dalam rahim ibu terjadi dengan cara yang tepat seperti yang digambarkan dalam Al-Quran.
Kajian itu mendapati bahawa pertama sekali jaringan tulang rawan embryo mulai mengeras. Ini diikuti dengan pembentukan sel-sel otot yang terpilih daripada jaringan di sekitar tulang-tulang bergabung dan membungkus tulang-tulang ini.
Ternyata, tahap pembentukan manusia sebagaimana yang ditemui dalam penyelidikan embryologi moden benar-benar tepat dengan apa yang disebutkan dalam Al-Quran.
Namun, Al-Quran bukanlah kitab sains. Segala apa yang disebutkan dalam Al-Quran juga bukanlah hanya sekadar satu fakta ilmu semata dan kemudian dilupakan. Akan tetapi Al-Quran merupakan mukjizat agung Rasulullah saw yang diturunkan untuk kita renungkan. Ia kitab petunjuk buat manusia sepanjang zaman.
Ayat-ayat seperti ini seharusnya membuat kita lebih ingin menguasai ilmu-ilmu yang bukan sahaja dapat memperkukuh keimanan kita kepada kewujudan Tuhan, malah membantu sesama umat manusia melalui kajian-kajian yang memanfaatkan manusia.
Semoga dengan penghayatan ini, kita mampu melahirkan masyarakat yang lebih menghargai Al-Quran, yang cinta untuk mengkaji, meneliti, berfikir dan merenung kehebatan Allah swt, lantas memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kita.
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan