Khamis, 2 Februari 2012

Mana salahnya tulisan Malaysia pada logo halal?

Khamis 2 Februari 2012

Ahmad Baei Jaafar

Membaca tajuk utama dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini (1 Februari 2012) menarik perhatian saya untuk membaca isi kandungnya. “Kesilapan ejaan Malaysia pada tulisan jawi logo halal Jakim” memang patut dibaca kerana kesilapan itu bukan sahaja melibatkan negara malah wibawa Jakim itu sendiri.
Tetapi setelah membaca tulisan Hamid Daud, Kuala Lumpur itu, timbul dua perasaan di dalam hati saya, malu kerana masih ada rakyat Malaysia yang jahil dalam mengenali nama-nama negara di dunia ini. Perasaan kedua ialah terima kasih dan syukur kerana ada orang yang secara sengaja mahu mempromosikan logo halal Malaysia.
Di sini saya petik satu perenggan daripada tulisan tersebut sebagai bahan kes, “Dukacita pada logo tersebut terdapat kesilapan pada ejaan jawi di mana nama negara Malaysia telah dieja kepada Malayzia. Dan difahamkan nama Malayzia tidak ada disebut oleh mana-mana negara di dunia ini. Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.”
Saya tidak ada apa-apa kepentingan untuk mempertahankan Jakim, tetapi saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam bertanggungjawab untuk mempertahankan kebenaran.
Kepada Hamid Daud dan mereka yang seumpama dengannya suka dijelaskan di sini, Almarhum Tunku Abdul Rahman sewaktu bercakap mengistiharkan Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris menyebut “Malayzia” kerana lazimnya “s” bunyinya “z”. Malah hari inipun, kalau orang Melayu bercakap bahasa Inggeris akan menyebut Malayzia. Saya tidak pasti adakah Hamid tidak pernah mendengar perkataan itu atau sengaja hendak menimbulkan isu.
Daripada sebutan itulah maka orang Arab (seluruh Negara Arab) menggunakan perkataan Malayzia (ماليزيا) sebagai sebutan rasmi untuk Malaysia. Mungkin Hamid tidak pernah mendengar orang Arab bercakap atau membaca surat khabar Arab, tetapi mungkin Hamid pernah tengok orang pergi Makkah (kalau Hamid belum pernah buat haji atau umrah) pada beg atau telekong jemaah wanitanya tertulis perkataan ماليزيا.
Sebutan dan tulisan yang berbeza sesuatu negara sudah iktiraf oleh dunia. Sebagai contoh, Jepun disebut oleh Malaysia, tetapi orang jepun sendiri tidak sebut jepun. Indonesia menyebutnya sebagai “Jepang” dan Arab pula menyebut “Yaban”. Apakah Hamid tidak perasan semua itu atau sengaja untuk memalukan diri sendiri.
Apalah peliknya kalau orang Arab sebut Malayzia kepada Malaysia, malah ada lagi sebutan Arab yang langsung tiada kaitan dengan asalnya seperti “Itali” seluruh dunia sebut Itali tetapi Arab sebut “alban”. Jadi, Hamid harus banyak pengetahuan sebelum membuat komen yang seperti ini.
Sebenarnya logo halal jakim ini bukan baru seperti itu. Rasanya sudah lama tertulis Malayzia sejak asal lagi. Tetapi kenapa baru hari ini ditumbulkan isu itu, adakah selama ini Hamid tidak perasan kerana tidak pernah beli barangan yang ada logo halal jakim. Kalau ini yang terjadi amat memalukan. Maaf kalau tulisan saya kali ini agak emosi.
Tidak timbul isu tulisan jawi salah di situ kerana pada logo itu bukan tulisan jawi tetapi tulisan Arab. Perkataan Malaysia sudah ada tercatat di atas, maka apa perlunya ditulis lagi dalam jawi, bahkan tulisan rumi itu, semua orang boleh membacanya dan boleh menyebutnya dengan betul. Tetapi di bawahnya dituliskan dalam bahasa Arab untuk pengguna Arab sekali gus memperkenalkan halal Malaysia kepada dunia Arab.
Untuk pengetahuan Hamid, logo halal ini bukan untuk Malaysia sahaja tetapi turut dibawa ke luar negara terutama negara Arab. Jadi, tulisan Arab itu penting dalam logo tersebut.

Ini logo baru yang berkuatkuasa 1 Jan 2012 
dengan menambahkan kod H
Sebelum mengakhiri tulisan ini suka saya membetulkan pengetahuan Hamid tentang ayat terakhir daripada petikan di atas, “Di negara-negara Arab di Timur Tengah pula akan disebut atau dikenali sebagai Malasie.” Sebenarnya orang Arab sebut Malasie untuk menunjukkan orang Malaysia. Sepertilah kita sebut Arabi bermaksud orang Arab. Samalah seperti orang Inggeris berkata Malaysian bererti orang Malaysia.
Harapan saya selepas itu logo halal Jakim akan lebih dikenali sekali gus menjadikan kita orang yang peka dengan dunia sekeliling. Biarlah kita celek dunia dan celek akhirat.

Sumber:fikrahislamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan