Rabu 29 Februari 2012
Ahmad Baei Jaafar
Berdasarkan perkahwinan Rasulullah dengan beberapa orang isteri, kita dapat ambil keputusan bahawa poligami yang diamalkan oleh Rasulullah sangat berkait dengan sosial dan kebajikan. Bukankah Rasulullah SAW mengahwini Saudah binti Zam’ah untuk membela kebajikannya kerana beliau sudah kematian suami. Bukan itu sahaja, kaum kerabat Saudah adalah orang musyrik. Bayangkan kalau Saudah yang ketika itu berusia 66 tahun terbiar, sudah tentu Islamnya terancam.
Di sudut sosial pula, Rasulullah berkahwin dengan Aisyah dan Hafsah sebagai penghargaan kepada orang tua mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khatab. Begitu juga perkahwinan Rasulullah dengan Ummu Salamah (Hindun binti Abi Umayah bin Almuqirah) yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah. Waktu suaminya, Abu Salamah meninggal dunia anaknya Salamah masih kecil dan memerlukan didikan.
Selain itu, poligami Rasulullah juga ada kaitan dengan politik dan dakwah. Ini seperti Ummu Salamah selain memiliki sifat terpuji dalam kalangan orang yang awal menganut Islam beliau adalah anak orang kenamaan. Rasulullah mengahwininya untuk menguatkan ikatan kasih sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya mereka memeluk Islam.
Supaya lebih jelas, perhatikan senarai tujuan perkahwinan Rasulullah seperti berikut;
1. Memberi penghormatan serta perlindungan kepada wanita, di mana sebilangan besar dari isterinya adalah janda-janda yang memerlukan pelindungan.
2. Memuliakan serta memberi penghormatan kepada kaum keluarga ataupun para sahabatnya, sepertimana beliau telah mengahwini Hafsah binti Umar bin Khattab dan Zainab binti Jahsyi.
3. Melalui perkahwinan, Rasulullah dapat meredakan rasa dendam serta permusuhan antara kabilah-kabilah Arab.
4. Untuk menarik tokoh-tokoh berpengaruh Quraisy ke dalam agama Islam yang kemudiannya sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam.
5. Memberi perlindungan serta kasih sayang kepada anak-anak yatim yang kehilangan ayah ketika berjuang menegakkan agama Allah.
6. Mengahwini isteri-isteri sahabat untuk meneruskan tanggungjawab melindungi rumahtangga sebagai tanda penghormatan kepada para sahabat yang menjadi syahid.
7. Menjelaskan kedudukan hukum, bahawa Islam memperbolehkan seseorang itu mengahwini bekas isteri anak angkatnya sebagaimana terjadinya peristiwa Zaid bin Haritsah.
8. Memerdekakan para tawanan perang dari sesuatu kabilah melalui perkahwinan dengan salah seorang wanita yang menjadi tawanan.
9. Sebagai penghargaan sikap lemah-lembut orang yang bukan beragama Islam, sebagaimana baginda menikahi Mariah al-Qibtiyah yang dihadiahkan oleh Raja Muqauqis dari Mesir.
10. Untuk menambah penyokong serta penganut Islam yang seterusnya akan memperjuangkan agama Allah itu dari masa ke masa.
Kebaikan poligami cara Rasulullah
Berdasarkan tujuan poligami Rasulullah itu dapat kita lihat banyak kebaikannya malah menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakat. Yang pastinya dalam poligami suami beroleh kebaikan dan isteri juga memperoleh kebajikan.
Bagi suami, tentu mereka akan berusaha memiliki sikap adil kepada isteri-isterinya. Dalam hal ini seseorang suami yang sering kali sakit dan mengalami kesukaran keluar untuk mencari rezeki tidak wajar impikan hidup poligami kerana dia tentu tidak dapat menanggung isteri-isterinya dengan adil.
Jadi, mana-mana suami yang berniat hendak berpoligami kenalah persiap diri dengan sifat dan sikap adil dan sihat tubuh badan. Manakala isteri, mereka tentu akan mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya. Dalam soal ini, suami tidak boleh mengurangi nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber kewangan sendiri.
Apabila suami dapat berpegangan kepada prinsip adil yang sebenar pasti dia akan mengadili giliran isterinya tanpa mengira sama ada mereka gadis atau janda, muda atau tua atau taraf pendidikan. Semuanya mempunyai hak sama rata sebagai isteri. Ketahuilah sikap adil suami ini menggambarkan betapa suaminya orang yang bertanggungjawab.
Dengan itu, isteri-isteri akan tenang malah boleh mengelak daripada berlaku pertengkaran atau saling cemburu antara mereka. Mengenai susunan giliran sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada isteri terutama pada aspek penjagaan kesihatan kerana waktu ketiadaan suami mereka boleh membuat rawatan dan kerehatan yang secukupnya. Pada masa yang sama mereka berpeluang untuk melakukan ibadah terutama pada waktu malam. Tidakkah ini satu kebaikan buat isteri yang berpoligami?
Sumber :fikrahislamiah