Isnin, 28 November 2011

Isu air tak jejas sokongan rakyat Kelantan


2 Muharram 1433H.

KUALA LUMPUR, 27 Nov: Penganalisis politik Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berpandangan, isu air yang dimainkan pihak tertentu menyerang Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin PAS, tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada parti Islam itu.

Beliau yang juga Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, isu tersebut bukan baru di negeri itu malah rakyat negeri itu sendiri tidak melihat isu itu sesuatu yang besar kepada mereka kerana memahami kekangan yang ada pada kerajaan negeri.

"Bukannya saya hendak katakan kerajaan Kelantan itu tidak ada kelemahan, kelemahan memang ada, misalnya dalam isu air. Memang airnya keluar perlahan, airnya kotor jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi itu tidak menjadi isu besar bagi rakyat Kelantan.

"Mengapa demikian? Ini kerana kerajaan Kelantan ada satu tiang besar dan kukuh yang sukar digoncang, iaitu kepimpinan Tok Guru dan ketelusan pentadbiran sehingga rakyat faham kerajaan negeri tidak boleh menyediakan prasarana yang baik kerana tidak ada wang disebabkan oleh tiada bantuan dari kerajaan pusat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Media dan pemimpin Umno sejak dua minggu lalu menyerang Kelantan dengan mendakwa air di negeri itu tidak bersih dan berisiko membawa penyakit.

Ianya termasuk akhbar Umno, Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia pada 20 November 2011 yang membawa tajuk ‘Air Kelantan Terkotor?’.

Mereka juga mendakwa kononnya air yang dibekal Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB), mengandungi logam berat serta E-coli.

Bagaimanapun dakwaan itu dibidas kerajaan negeri dengan membawa fakta dari Laporan Pencapaian Pematuhan Kualiti Air Terawat Bagi Parameter QAP Seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Julai dan Januari hingga Ogos 2011 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya.

Laporan itu mendedahkan bahawa negeri-negeri ditadbir kerajaan BN mengandungi kadar pencemaran bakteria E-coli lebih tinggi berbanding Kelantan.

Negeri Perlis mencatat pencemaran E-coli paling tinggi dalam negara iaitu 1.21% diikuti Pahang (1.12%), Wilayah Persekutuan Labuan (1.01%), Perak (0.90%), Kelantan (0.88%) dan Johor (0.55%).

Mengulas lanjut, Mohammad Agus yang juga anak Kelantan berkata, biarpun isu tersebut dimainkan, namun baginya rakyat Kelantan tidak terpengaruh apatah lagi keyakinan rakyat terhadap kejujuran kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat tinggi.

"Dalam keadaan tertekan seperti sekarang ini pun Kelantan sukar digugat oleh kerajaan pusat dari segi sokongan rakyat kepadanya. Kenapa?

"Ini kerana kerajaan Kelantan mempunyai darjah integriti, ketelusan dan kejujuran politik yang tinggi," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan