Jumaat, 18 November 2011

'Ikrar' Khairul Fahmi

Sabtu 19 November 2011

KHAIRUL FAHMI tidak rela gawang Malaysia dibolosi pemain Myanmar hari ini.


JAKARTA - Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi tampil cemerlang ketika mengemudi benteng terakhir Harimau Muda pada aksi menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam kelmarin.

Ketangkasan menjaga gawang Harimau Muda wajar diberi pujian sehingga Indonesia terpaksa menggigit jari apabila tewas 0-1 di hadapan hampir 100,000 penyokong sendiri.

Malah, kecemerlangan Khairul Fahmi atau lebih mesra di panggil 'Apex', mendapat pujian pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee yang jelas sekali berpuas hati dengan prestasi penjaga gol Kelantan itu dalam empat perlawanan yang di harungi setakat ini.

Biarpun baru berusia 22 tahun, ternyata 'Apex' dilihat semakin matang ketika berada di tengah padang, lantaran pengalaman yang ditimbanya bersama skuad senior negara kendalian Datuk K. Rajagobal.

Mengimbas kembali 'gelora' yang terpaksa dihadapinya bersama barisan Harimau Muda pada pertemuan menentang Indonesia kelmarin, 'Apex' berkata: "Sebelum perlawanan lagi kesemua pemain sudah tahu dan sedar apa yang akan berlaku di stadium.

"Tetapi mujur para pemain fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya di tengah padang dan menghiraukan provokasi yang dicetuskan penyokong Indonesia sepanjang perlawanan berlangsung.

"Walaupun menerima sorakan boo daripada penyokong Indonesia, tetapi ia tidak melemahkan semangat para pemain negara tetapi kami lebih bersemangat dan mahu membuktikan Malaysia mampu mencipta kemenangan," kata 'Apex' kepada Kosmo! semalam.

Selain ketangkasan 'Apex' mengemudi benteng terakhir skuad negara, kekentalan empat tonggak pertahanan Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli juga menjadi antara faktor kekuatan Harimau Muda pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Saya akui empat pemain pertahanan negara itu banyak membantu saya menjaga pintu gol. Kami telah bersama sejak Sukan Asia 2010 dan ini memudahkan kami untuk membentuk keserasian antara satu sama lain," katanya.

Menjelang aksi separuh akhir menentang Myanmar hari ini, 'Apex' berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menjaga gawangnya daripada dibolosi pihak lawan.

"Semangat para pemain semakin berkobar-kobar selepas kami layak ke separuh akhir dan saya mahu meneruskan semangat ini pada perlawanan itu nanti. Namun, kami tidak boleh pandang rendah keupayaan Myanmar.

"Saya lihat mereka mempunyai kekuatan yang hampir seimbang dengan Vietnam, jadi kami harus bersedia sepenuh- nya bagi menghadapi perlawanan itu nanti," jelasnya.

sumber:kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan