Wartawan: Kami tak dibekal jaket kalis peluru, tiada latihan
Misi anjuran Kelab Putera 1 Malaysia, yang sepatutnya kembali ke tanah air pada 8 September, terpaksa pulang pagi ini ekoran kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor, akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan di Mogadishu kelmarin.
Jenazah Noramfaizul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia pada pukul 2.10 petang ini.
Kira-kira 500 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir.
“Kami memang tidak diberikan dengan baju kalis peluru, kalau media negara asing, ada antara mereka yang pakai baju kali peluru (semasa buat liputan).
“Saya tidak tahu mengapa kita tidak dibekalkan, dalam misi-misi sebelum ini juga kami tidak dibekalkan dengan baju kalis peluru,” kata Khairulanuar, yang sudah empat kali menyertai misi kemanusiaan, kepada The Malaysian Insider hari ini.
Jelas beliau, sepanjang berada di Somalia sejak 28 Ogos lalu keadaan di negara itu selamat dan tidak diserang oleh sesiapa.
Bagaimanapun, Khairulanuar yang masih trauma dalam kejadian yang meragutnya nyawa rakannya mengakui terkejut apabila diserang dipercayai kumpulan pengganas.
Katanya, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan hanya mengetahui Noramfaizul ditembak selepas seorang wartawan lain menjerit.
“Saya dengar dua das tembakan tapi tidak tahu ditembak ke mana, saya hanya tahu Noramzul ditembak selepas seorang wartawan lain yang turut berada dalam kenderaan menjerit.
“Bunyi tembakan itu sangat dekat... berdesing telinga,” katanya menambah kematian Noramfaizul tidak sia-sia kerana bapa dua anak itu berkhidmat untuk negara.
Sementara itu wartawan Astro Awani Tan Su Lin berkata, mereka tidak diberikan latihan awal untuk berada di zon tidak selamat.
“Kami diberitahu ia sangat bahaya, mengancam nyawa,” katanya kepada pemberita di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.
“(Tetapi kami tidak dapat) baju kalis peluru... kenderaan kami tidak ditampal dengan tanda media,” katanya.
Wartawan berusia 27 tahun ini berkata misi ke Somalia adalah tugasan pertamanya di zon perang.
“Banyak askar... anda boleh lihat orang membawa AK47 dan anda tidak akan rasa apa-apa. Malam pula anda akan dengar bunyi tembakan,” kata Tan.
Melissa Ong, 27, wartawan NTV7 berkata pasukan misi akan sentiasa diiringi kenderaan bersenjata.
“Sebuah kenderaan akan mengikuti kami dengan M16, AK47. Ada antara kami yang berada dalam kenderaan kalis peluru, kami tukar-tukar,” katanya.
Turut tercedera dalam serangan itu adalah jurukamera TV3 Agi Saregar Mazlan yang cedera di lengan.
Kejadian itu berlaku ketika kru Bernama TV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan memberi bantuan kepada mangsa kebuluran di sekitar Mogadishu.
Noramfaizul yang cedera parah di bahu kanan dan paru-paru meninggal dunia pada pukul 11 malam waktu Malaysia selepas menerima rawatan.
Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut, Bernama akan meneliti semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, terutamanya di zon kritikal atau dilanda konflik.
Pengurus Besarnya Datuk Hasnul Hassan berkata selain menyediakan wartawan dengan latihan secukupnya, pertubuhan itu akan turut meneliti aspek keselamatan.
“Kami berkemungkinan perlu melihat bagaimana petugas kami dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya. Sekiranya SOP perlu diubah, kami akan mengubahnya selepas berbincang dengan jawatankuasa pengurusan,” katanya.
Hasnul berkata Bernama tidak akan berhenti daripada menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, sambil menambah pertubuhan berkenaan sering menghantar wartawan berpengalaman ke luar negara.
“Ini adalah dasar kami. Bagaimanapun, jika membabitkan keadaan yang sukar, keputusan dibuat atas dasar sukarela,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan