Resolusi Aidilfitri, Gaddafi |
9/4/2011 |
Lazimnya orang buat resolusi Tahun Baru. Antara resolusi 2011 saya, hanya satu sahaja kekal diamalkan hingga hari ini. Yang lain, sedih tetapi benar, semua gagal dipraktikkan selepas satu dua bulan sahaja. Saya sudah baharui resolusi itu pada 1 Syawal. Semoga kali ini saya lebih resilient yakni tidak cepat luntur semangat. Tuntutan, komitmen seperti masa berubah; kedudukan juga bertukar kecualilah kita diktator – itu pun satu hari jatuh juga: Marcos, Suharto, Hosni Mubarak dan Gaddafi. Di negara kita Tunku Abdul Rahman kurang lebih ‘dipersarakan’, Tun Razak kembali ke rahmatullah secara mengejut, Hussein Onn berhenti kononnya kerana ‘kesihatan’ tetapi dia terus hidup lama selepas berhenti, Dr Mahathir Mohamad melepas jawatannya secara sukarela; Badawi ‘diturunkan’. Najib? Siapa pun tidak tahu nasibnya. Apa pun PRU13 akan menentukan kesudahannya. Menang baguslah. Penasihat orang besar sama ada boleh mengajar anak rimau makan daging atau menasihatinya tidak berbuat demikian. Maksud peribahasa Melayu tadi: Orang sudah zalim janganlah digalakkan lagi untuk membuat aniaya kepada musuh; mengharimaui, meminggirkan terhadap kawan, bekas penyokong, sahabat atau sebaliknya. Ada antara bekas penyokong, mengikut yang berpengaruh, tidak relevan lagi tetapi kalaupun begitu kenapa pula mahu bermusuh dengan mereka? Kalau pun mereka ini dianggap begitu (tidak penting) dalam situasi sekarang hingga ke PRU13 yang dianggap kritikal (benar atau tidak, saya tidak tahu) kenapa cari seteru? Apa pun lebih baik jangan memburu banyak musuh menjelang PRU13 kecuali mereka terlalu yakin! Berapa lama lagi perasaan dan kehormatan rakyat, pengundi boleh diketepikan dan dihampakan setelah memerintah sekian masa? Pemimpin dan kerajaan yang sensitif, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan tahu sejarah mesti mendekati, mengutamakan rakyat yang tidak putus-putus menyokong kerajaan. Jangan yang dikejar tak dapat (ramai berpendapat demikian), yang dalam kandang lari (tidak kecil bilangan yang berfikiran begini). Buat apa pun, bagi peha pun percayalah mereka tidak akan kembali masuk dalam kandang kerajaan. Yang dikejar mereka adalah kuasa, hak asasi manusia, meritokrasi, persamaan hak bukan kelulusan kilat projek, bantuan, bintang dan pingat, kontrak dan peluang bisnes. Bukan makan atau berpiknik bersama yang berjenama dan terkemuka! Umno dan sekutunya tidak lama dahulu memerintah seluruh negara kecuali Kelantan. Umno-BN telah hilang kekebalannya di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor semenjak 2008. Semenjak itu dilihat sudahlah ranap pada amnya jentera kuasa dan pengaruh BN di negeri-negeri tersebut dan sedang bertahan di negeri-negeri lain, mengikut penganalisis politik, kecuali nampaknya di Johor, Pahang, Perlis dan Sabah. Sarawak selamat kalau Putrajaya, kata setengah orang, terus ‘memelihara’ Taib Mahmud; terus pejam mata! Kedua-dua pihak berdaya dan sanggup melaksanakan apa jua: Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kuasa dan BN pula untuk merampas kembali pengaruh dan mandat yang hilang tahun 2008. Mengikut situasi semasa – boleh berubah memihak kepada BN atau memburukkan lagi keadaan BN antara sekarang dan PRU13. Ambillah iktibar dari apa yang berlaku di Thailand. Ramai Peribumi dan bukan Peribumi bersependapat perhati Speaking, ‘that things are going very wrong – beberapa perkara tidak betul’. ‘The people want greater involvement in government rather than tolerate the usual administrative mode...rakyat mahu penyertaan/penglibatan yang lebih luas, mendalam bukan sekadar berharap kepada jentera perkhidmatan awam.’ Isu murtad bagai ibarat api dalam sekam, Bahasa Inggeris yang diagungkan Bahasa Melayu yang dilihat diketepikan tidak bisa ditangani segera. Kalau isu-isu penting macam ini tidak diselesaikan segera saya takut isu dan keadaan dijadikan bahan kempen beremosi – senyap atau terbuka – oleh politikus yang mengejar populariti... bergendang dan berdendang apa yang golongan target suka dengar. Juga isu penyebaran mazhab Syiah yang sudah lama berjalan diam-diam. Lebih berani lagilah mereka dengan kehadiran ramai orang Iran di negara kita sekarang. Apa pun politikus – kerajaan atau pembangkang - janganlah berasa lega sangat: nilai politik universal sudah tiba, komitmen dan visi baru telah tersemat di hati muda-mudi dan mereka yang terpelajar kian berkembang; isu dan nilai universal diperjuangkan oleh mereka, dan media baru yang diminati itu. Begitu juga, pancaindera golongan ini. Kerajaan dan parti pemerintah tidak bisa bertahan lagi kecuali mereka jadi proaktif - melaksanakan dasar yang selesa dengan golongan ini dan penduduk majoriti! Kalau tidak kata orang di sesetengah majlis-majlis berbuka puasa saya hadiri di empat buah negeri – Kelantan, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak: ‘bye, bye, bye!’, adding: ‘no way out for the ruling coalition – sukar bagi BN untuk cari jalan keluar.’ Lainlah kalau Umno-BN mempunyai keberanian dan iltizam yang lebih dan kuat. Kalaulah begitu pendapat mereka yang terpelajar dan juga pegawai kerajaan, kerajaan Umno-BN menghadapi cabaran besar menjelang dan dalam PRU13. Najib Razak ada masa lagi walau pun Umno-BN bagai undersiege sekarang. Apa PM laku pun, mengikut mereka yang kononnya penganalisis pintar, problem yang dihadapinya dulu dan sekarang dan kejujuran kerajaan terus menghantuinya. Politik dalaman Umno makin mengelirukan, kian kelam, kata seorang MP Umno Apa pun kalau ini tidak benar moleklah. Bagi menyambut berita baik yakni Umno kuat, tidak bermasalah, winnable candidates ramai termasuklah di Kelantan, apa yang dikatakan oleh penganalisis semuanya bohong, fitnah dicadangkan kumpulan pemikir dan penasihat yang menggalakkan syair, lukisan, muzik, nyanyian, penulisan, buku yang mendorong semangat, ilham, impian kepada pemimpin diperbesarkan lagi bilangannya! Saya berharap mudah-mudahan pemimpin Umno, BN dan kerajaan tidak terbuai oleh populariti yang sedang membara dalam hati mereka. Kadang-kadang saya mengayunkan buai cucu sehingga terlena – saya dan cucu! Sinaharian
|
Ahad, 4 September 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan