Jumaat, 18 November 2011

Harimau baham Garuda

Jumaat 18 November, 2011
Malaysia, Indonesia

MALAYSIA seperti dijangka menepati ramalan awal apabila berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Sukan Sea 2011 dengan menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, semalam.

Kecederaan yang dialami Wan Zaharul Nizam ternyata memberi tuah kepada Syahrul Azwari apabila muncul penjaring tunggal perlawanan pada aksi yang disaksikan kira-kira 80,000 penyokong Garuda di Senayan.

Pada minit ke-17, Syahrul menceriakan kem negara mudah menolak masuk bola ke dalam gawang Indonesia hasil umpanan Mahalli Jasuli selepas mengatasi dua pertahanan yang cuba menghalangnya.

Namun begitu, perang psikologi dilancarkan skuad Merah Putih berhasil selepas Ong Kim Swee diperintah meninggalkan kawasan bangku simpanan pemain oleh pengadil perlawanan.

Tetapi, ia tidak sesekali melunturkan semangat juang Harimau Muda yang hebat bertahan. Pujian sebenarnya harus diberikan kepada penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya lawan.

Biarpun mencatat kemenangan tipis, ia sudah cukup bagi anak didik Ong Kim Swee meruntuhkan ego Sang Garuda yang begitu yakin untuk menundukkan pasukan negara.

Kini, Malaysia bakal berdepan Myanmar di saingan separuh akhir, Sabtu ini bagi meniti lalan beraksi di pentas final dalam usaha mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di Laos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan