Rabu, 3 April 2013

Panduan mudah memilih wakil rakyat



Ahmad Baei Jaafar
Sebelum membicarakan tajuk ini suka diperjelaskan di sini hukum umat Islam keluar mengundi. Walaupun sudah banyak kali negara kita mengadakan pilihanraya namun peratus yang keluar mengundi masih kecil, tidak 100 peratus. Ini barangkali kerana mengundi tidak diwajibkan oleh kerajaan. Apatah lagi ulama tidak pernah mengeluarkan fatwa mengenainya.
Ustaz Muhammad Kamil bin Abdul Majid sewaktu  bercakap dalam Wacana Ilmu “PRU 13: APLIKASINYA MENURUT PERSPEKTIF FIQH POLITIK ISLAM”  pada 27 Mac 2013 di Dewan Besar, Kolej Dar al-Hikmah, Kajang  Selangor menyebut hukum mengundi dalam konteks negara kita pada hari ini adalah wajib.
Hukum ini berdasarkan kaedah usul fiqh, “sesuatu kewajipan (yang wajib) tidak menjadi sempurna melainkan dengan adanya perkara itu maka perkara ini turut menjadi wajib.”
Perlu dijelaskan di sini, mendaulatkan Islam adalah wajib. Maka usaha untuk mendaulatkan Islam perlu kepada sebuah negara. Untuk mewujudkan negara perlukan pemimpin dalam kalangan orang-orang politik bagi mentadbir dan kenguruskannya. Jadi, untuk mendapatkan pemimpin yang berkelayakan dalam urusan ini perlukan jihad atau berjuang.
Pada zaman ini, perjuangan yang sesuai ialah dengan sistem demokrasi ialah dengan mengundi mengikut suara banyak. Oleh sebab itu semua rakyat perlu keluar mengundi bagi memilih mana-mana pemimpin yang berkelayakan pada pandangannya. Jadi, mengundi termasuk dalam jihad yang wajib bagi merealisasikan negara Islam di atas.
Berdasarkan hukum itu, setiap umat islam wajib keluar mengundi pada hari yang ditetapkan. Maka berdosalah mereka yang tanpa uzur meninggalkan kerja mengundi. Malah menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, mereka yang sengaja merosakkan undi adalah berdosa.
Bagaimana Memilih
Persoalan sekarang siapa yang kita perlu undi dan pilih? Sebenarnya Islam menyediakan panduan bagaimana memilih pemimpin atau wakil rakyat. Di kesempatan ini saya perturunkan panduan berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "ادْعُ لِي مُعَاوِيَةَ"، فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَفَ بَيْنَ يَدَيْهِ ، فَقَالَ: "حَمِّلُوهُ أَمْرَكُمْ؛ فَإِنَّهُ قَوِيٌّ أَمِينٌ ".
Maksudnya: …maka Rasulullah SAW bersabda; panggilkan kepadaku Muawiyah. Apabila dia datang dan duduk di sisinya maka sabdanya: Tugaskan dia urusan kamu maka sesungguhnya dia gagah dan amanah. (Riwayat Ibnu Asakir)
Jelas di sini wakil yang akan pilih mestilah ada dua ciri-ciri ini iaitu GAGAH DAN AMANAH. Gagah atau kuat dalam konteks ini merujuk kepada kualiti individu atau batang tubuh wakil rakyat atau pemimpin. Maknanya dia mestilah seorang yang yang adil, berani dan mampu menjalankan tugas yang berat, berilmu pengetahuan luas (dunia/akhirat), hebat dalam mengatur strategi baik dalam peperangan mahupun dalam pentadbiran.
Manakala Amanah pula, merujuk kepada sikapnya yang amanah dengan tugas yang diberi, tidak pecah amanah dan tidak menerima rasuah. Kedua-dua ciri ini mungkin sukar untuk kita menilainya kerana sebagai pengundi kita tidak didedahkan sifat-sifat calon itu. Kalau wakil rakyat yang lalu dicalonkan semula mungkin kita dapat menilai sama ada dia memenuhi ciri-ciri itu atau tidak. Tetapi bagi yang baru dipilih, belum ada rekodnya dan boleh jadi sewaktu berkempen kelihatan baik, sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Untuk kes sebegitu kita perlu merujuk kepada parti yang mencalonkannya kerana parti yang telah mengenalpasti kelayakan mereka. Maka sebagai pengundi kita hanya cukup meyakini kemampuan calon itu dengan merujuk kepada dasar parti itu. Jika dasar parti ini jelas dan sudah ada rekod kejayaan sebelum ini, maka pemilihan itu boleh diterima.
Cuma di sini timbul isu, bolehkah orang Islam mengundi untuk orang bukan Islam. Ini kerana dalam parti ada pakatan yang telah dibuat dan melibatkan orang bukan Islam. Apakah boleh kita memilih mereka berasaskan dasar parti yang telah disepakatkan?
Menurut ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, jika terdapat calon bukan Islam dalam parti dan dalam dasar parti ini jelas tidak bercanggah dengan Islam malah serasi dengan Islam maka undian kita hendaklah berdasarkan parti atau pakatan itu. Maknanya kita bukan mengundi orang bukan Islam itu tetapi mengundi parti yang dianggotainya.
Dalam hal ini kita mesti menilai prestasi sesebuah parti yang bertanding. Kalau mereka sudah memerintah untuk satu atau lebih penggal, lihatlah kejayaannya adakah menggalakkan atau tidak. Lihatlah juga kualiti perkhidmatannya adakah memuaskan rakyat atau tidak. Tetapi kalau parti itu tidak pernah memerintah, lihatlah apakah sumbangan kebajikan yang telah dilakukan sepanjang tahun.
Jadi, sebagai rakyat kita boleh menilai sendiri adakah parti yang memerintah itu mampu atau tidak, adil atau tidak, ikhlas atau tidak. Jika sewaktu memerintah, mereka dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya tanpa banyak cakap, tentulah mereka mampu. Tetapi jika sepanjang pemerintahan itu banyak pembangunan dihalakan ke satu pihak dan mengabaikan satu pihak lagi tentulah mereka tidak adil.
Jika semasa pemerintahan dipenuhi janji seperti yang dijanjikan, tetapi sumbangan itu dianggap sebagai jasa yang perlu dikenang dan sebagai balasannya rakyat perlu mengekalkan pemerintahannya, maka ternyata mereka tidak ikhlas. Dan termasuk juga tidak ikhlas, apabila sesuatu yang dilakukan pada saat-saat akhir bagi tujuan memancing undi.
Berdasarkan panduan ini, diharapkan semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon yang kita yakin boleh mentadbir negara dan negeri dengan baik mengikut acuan Islam.
fikrahislamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan