Kenapa Anda Perlu Kekalkan Pemerintah Sekarang?
Ahmad Baei Jaafar
“Kecil jangan dibesarkan, yang besar jangan
dikecilkan” demikian kenyataan yang disuarakan seorang pemimpin parti politik. Amat
positif pandangan itu tetapi suara itu akhirnya bagaikan tidak bermakna lagi apabila
dalam ucapannya terselit nada mengungkit sumbangan kerajaan kepada rakyat.
“Ingatlah dahulu kita susah sebagai
setinggan, berebut untuk mendapat air pada setiap pagi. Kerajaan telah
menempatkan kita semua ke sini dengan harga yang terendah,” kata pemimpin
tersebut.
Pada rakyat itu bukan sumbangan tetapi
tanggungjawab kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat. Sememangnya rakyat
berhak duduk dengan aman di dalam negara. Rakyat seharusnya bersyukur dan
berterima kasih kepada kerajaan kerana demikian itu adalah sebahagian daripada
Islam.
Cuma persoalannya, tidakkah mengungkit hal
ini termasuk dalam membesarkan perkara yang kecil. Yalah soal penempatan
kalaupun kerajaan tidak bantu, rakyat boleh usaha sendiri. Maka hal ini bukan
besar kerana nilaian besar itu adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh
rakyat walaupun dia seorang kaya iaitu keamanan dan keselamatan.
Demikian suasana politik Malaysia pada hari
ini, pemimpin sedia turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat hasil
pemerintahannya selama ini. Mereka menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak agar seluruh kepimpinan BN turun padang bertemu rakyat bagi
menjelaskan kenapa mereka perlu diberi peluang memerintah negara ini sekali
lagi.
Najib dalam seruan itu berharap BN diberi
kemenangan dengan majoriti kukuh kerana banyak lagi perancangan untuk
membangunkan negara belum selesai. Dengan mandat baru itu nanti banyak lagi
projek dapat dilaksanakan.
Saya percaya pengakuan Perdana Menteri di
atas adalah ikhlas daripada hatinya. Malah kesungguhan pemimpin BN hendak turun
padang dilihat mereka serius dalam usaha menyelesaikan projek yang masih belum
terlaksana. Cuma dalam hal ini, tidak dinafikan ada kemungkinan rakyat akan menilainya
secara terbalik iaitu; pengakuan bahawa banyak lagi perancangan yang belum
dibuat, memberi erti bahawa banyak lagi janji kerajaan yang tidak ditepati.
Sekali gus menggambarkan kegagalan kerajaan dalam merealisasikan slogan
kerajaan “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”
Di sini saya teringat pada satu kisah yang
dipaparkan dalam al-Quran di mana penghuni neraka yang menyedari bahawa neraka
itu benar-benar wujud lalu segera membuat rayuan kepada Allah minta dikeluarkan
semula ke dunia untuk seketika. Hal ini supaya membolehkan mereka membuat
kebajikan sebanyak-banyaknya.
Bayangkan setelah tempoh yang panjang diberikan
kepada mereka di dunia tetapi peluang itu diabaikan, lalu setelah dimatikan dan
sampai masa untuk diadili, masih bolehkah Allah mahu memberinya peluang kali kedua?
Kalau begitu sikap Allah, bagaimana dengan
rakyat terhadap pemerintah negara ini? Tepuk dada tanya iman. Maka terpulanglah
kepada rakyat untuk menentukan sama ada hendak diberi kuasa semula atau
diberikan kepada pihak yang lain dalam pilihan raya akan datang.
Pilih Pemimpin
Sememangnya sebagai rakyat biasa, kita sukar
untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat untuk mentadbir negara. Hal ini kerana
kebanyakan calon dalam piliharan tidak dikenali secara benar. Kita hanya mampu
melihat wajahnya pada poster, tetapi kemampuannya dalam mentadbir belum dikenal
pasti. Lainlah kalau kita berpeluang melihat dan mendengar ucapannya dalam sesi
kempen, itupun kita hanya sekadar mendengar janji mereka namun belum tahu
kemampuan sebenarnya.
Mungkin pemimpin yang sedia ada sudah dikenali
kerana selalu kita dengar dan menonton tv. Dengan mengenali mereka tentu kita dapat
menilai mereka sama ada mereka boleh terus memimpin atau tidak. Namun tidak
dinafikan sesetengah mereka membuatkan kita tidak suka kepada mereka. Mungkin
tindakan sesetengah mereka yang membuatkan rakyat menyampah kepada politik
negara.
Walau bagaimanapun dalam PRU13 yang akan
berlangsung pada 5 Mei 2013 nanti, saya berharap semua rakyat Malaysia keluar
untuk mengundi dan memilih pemimpin yang berkualiti dan berwibawa. Pemimpin yang
sedemikianlah yang boleh mengurus negara ini dengan sempurna. Ingatlah mengundi
dalam konteks ini adalah wajib aradhi.
Sebenarnya dalam pilihan raya rakyat
dikehendaki mengundi dua calon untuk dua kategori; Parlimen dan DUN. Kerusi
Parlimen untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan pesekutuan. Manakala DUN
untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri. Untuk kedua-dua kategori
itu parti yang bertanding perlu mendapat sekurang-kurangnya lebih satu kerusi
daripada separuh kerusi Parlimen dan DUN.
Tetapi untuk kedudukan kerajaan yang selesa, parti tersebut perlu menguasai
2/3 daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan.
Berdasarkan itu rakyat bertanggungjawab membentuk
kerajaan Malaysia yang selesa agar kedudukannya sukar dicabar oleh pembangkang.
Jadi, rakyat perlu mengundi calon yang mewakili parti yang mempunyai wawasan
yang jelas iaitu untuk menyelamatkan negara daripada muflis, menyelamatkan
negara daripada dicerobohi musuh, mampu membangunkan negara selaras dengan
kehendak Islam dan mampu meletakkan Islam di puncak keagungan.
Begitu juga dalam membentuk kerajaan negeri, rakyat
perlu memilih calon yang mewakili parti yang mampu menyelamatkan negeri
daripada hutang, menyelamatkan negeri daripada miskin, dapat membawa negeri maju
dan meyakinkan pelabur. Dan yang paling penting kemajuan kerajaan itu boleh memberi
keselesaan kepada rakyat yang berteduh di bawahnya.
Untuk mencapai apa yang dijelaskan di atas rakyat
Malaysia mahupun rakyat negeri-negeri dalam Malaysia boleh menentukan siapa dan
parti apa yang boleh memerintah Malaysia dan negeri-negeri seluruh Malaysia. Kuasanya
pada tangan rakyat iaitu memangkah pada kertas undi. Ingatlah, mengundi dengan
niat untuk memilih pemimpin yang baik untuk negara dinilai sebagai ibadah.
Pilih
Kerajaan
Rakyat berhak memilih semula parti yang
memerintah di peringkat pusat kini jika mereka berpuashati dengan gaya dan cara
mereka mentadbir politik negara. Sebaliknya mereka juga boleh memilih untuk
mengubah atau menukar parti yang memerintah sekarang kepada parti baru jika
selama ini didapati gaya dan cara mengurusnya kurang memerangsangkan atau
tadbir urus yang kurang berkualti.
Dalam hal ini rakyat perlu diberi kebebasan
mutlak dalam menentukan parti yang akan memerintah Malaysia. Oleh sebab itu,
rakyat tidak boleh dimomokkan dengan cerita-cerita karut marut semata-mata untuk
menakutkan rakyat. Hal ini kerana rakyat kini sudah cerdik dan bijak dalam
menilai pencapaian kerajaan yang ada.
Mungkin pencapaian kerajaan pusat sehingga
kini tidak boleh dibandingan dengan mana-mana kerajaan kerana kerajaan pusat sekarang belum pernah tercabar. Tetapi bagi rakyat
kerajaan Selangor tentu mereka boleh membandingkan dengan kejayaan kerajaan
dahulu. Boleh juga membandingkan dengan kejayaan kerajaan Perak atau Pahang
yang diperintah oleh parti yang berlainan pada hari ini.
Manakala rakyat negeri Pulau Pinang, mereka
boleh membuat pilihan bijak dengan mengembalikan pemerintahan kepada parti yang
memerintah sekarang jika mereka
mendapati kerajaan ini lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Sebenarnya
kerajaan Pulau Pinang telah diperintah oleh tiga ketua menteri yang berbeza
perwatakannya iaitu yang mewakili MCA, Parti Gerakan dan DAP. Saya percaya
rakyat Pulau Pinang dapat menilai mana yang lebih baik dalam pengurusan
kewangan dan lain-lain.
Cuma pada saya, kalau rakyat Pulau Pinang
selesa dengan keadaan pemerintah sekarang, sebaiknya semua orang Melayu harus
bersatu hati dan tangan dalam memberi undi kepada calon dalam kalangan orang
Melayu sama ada daripada PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Hal ini kerana dengan meramaikan
wakil rakyat orang Islam dalam kerajaan PR boleh mengimbangkan kepimpinan dan pembangunan
di negeri tersebut. Dengan cara ini orang Melayu dan Islam akan terbela dengan
adil.
Walau bagaimanapun tidaklah salah kalau orang
Melayu memberi sokongan kepada wakil daripada UMNO asalkan mereka juga boleh
menjadi pembangkang yang berkesan, boleh memberi idea yang baik kepada kerajaan
demi menyelamatkan orang Melayu dan Islam. Maknanya mereka akan menyokong
keputusan kerajaan dalam usaha membangunkan orang melayu tetapi kalau terdapat
yang tidak kena dalam pemerintahan perlu dibetulkan segera, malah jika
perancangan itu boleh merugikan orang Melayu perlulah dibantah segera.
Begitu juga dengan negeri Kelantan, kalau
rakyat Kelantan masih rasa selesa dengan pembangunan sekarang, eloklah kekalkan
pemerintah sebelum ini. Rakyat Kelantan sudah pernah rasai pemerintah lain
beberapa tahun dahulu. Tentu mereka dapat menilai kemampuan pemerintah tersebut.
Rakyat Kelantan banyak bertebaran di seluruh negara, tentu mereka nampak
kebaikan atau keburukan kerajaan Kelantan waktu ini. Tegasnya mereka lebih arif
dalam hal ini.
Cuma dalam ruang singkat ini ingin saya
ingatkan rakyat Malaysia terutama Kelantan bahawa mereka perlu tahu dan sedar
bahawa dalam sesebuah negeri ada hak dan tanggungjawab kerajaan pusat selain
kerajaan negeri. Sebenarnya semua jalan raya persekutuan dan Lebuh raya adalah tanggungjawab
kerajaan pusat untuk membinanya. Makanya
walaupun kerajaan negeri berlainan parti, Kerajaan pusat mesti buat jalan
tersebut apatah lagi setelah kerajaan negeri meminta atau mereka sendiri yang
berjanji untuk itu.
Adapun jalan kampung dan dalam Bandar berada di
bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Namun projek membuat jalan ini mesti
dilaksanakan oleh kerajaan negeri bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.
Perlu diingat wang tersebut datangnya daripada peruntukan kerajaan pusat. Jadi,
jika peruntukan itu disekat, maka pembangunan kerajaan negeri akan tersekat
juga.
Sebenarnya di sudut undang-undang peruntukan
kerajaan pusat kepada negeri tidak boleh disekat selagi kerajaan itu masih di
dalam Malaysia. Jadi, parti lain yang memerintah bukanlah menjadi sebab wang
itu tersekat.
Selain itu semua sekolah kebangsaan termasuk
sekolah jenis kebangsaan berada di bawah kuasa kerajaan pusat. Kerajaan negeri
tidak dibenarkan masuk campur dalam sekolah tersebut. Manakala sekolah agama diletakkan
di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Begitu juga dengan urusan tanah dan air
akan diurus tadbir oleh kerajaan negeri.
Bagi rakyat negeri Kedah pula, mereka juga
berhadapan dengan dua pilihan yang penting. Rakyat Kedah tentu ada pengalaman
diperintah oleh kerajaan pusat, maka mereka kini tahu kemajuan yang telah
mereka kecapi. Mereka juga tahu apa yang menguntungkan mereka dan apa pula yang
merugikan mereka. Pada masa yang sama, rakyat boleh menilai kerajaan baru yang
memerintah selama lima tahun, apakah lebih baik atau bagaimana. Yang penting,
apakah kerajaan negeri itu banyak buat hutang atau tolong membayar hutang lapok.
Bagi rakyat negeri Selangor tentu mereka lebih
arif tentang siapa yang layak menguasai negeri mereka. Hal ini kerana rakyat
Selangor lebih ramai yang intelik, ramai yang berpendidikan. Mereka tahu
membezakan kemajuan kerajaan sekarang dengan kerajaan sebelumnya. Rakyat tentu
tahu isu yang dimainkan pada hari ini apakah realiti atau sekadar mainan
politik untuk pilihan raya.
Sebenarnya sebagai rakyat kita perlukan
sebuah negara atau negeri yang aman dan selamat, maju dan damai, membangun dan
ceria. Semua itu hanya boleh diperoleh melalui penghayatan Islam baik dalam
pemerintahan mahupun rakyat jelata.
Bagi negeri-negeri lain, rakyat negeri
tersebut bolehlah membuat sedikit kajian tentang parti yang memerintah apakah
mereka telah membuat kejayaan seperti yang saya sebut di atas. Kalau mereka melakukan
sesuatu yang memuaskan hati kita, berilah kepercayaan kepada mereka lagi.
Tetapi kalau terdapat kekurangan yang perlu dibaikpulih, buatlah sesuatu untuk
kebaikan bersama.
Cuma dalam mencari jawapan, bolehlah kita
secara profesional menghadiri penjelasan daripada parti dan colon yang
bertanding. Penjelasan dan keterangan mereka penting untuk dinilai. Ketika itu kita
boleh menilai sama ada mereka ikhlas atau tidak. Kita boleh menilai sama ada
mereka mampu atau tidak.
Beberapa panduan untuk tindakan pengundi:
- Waktu pilihan raya rakyat boleh memilih dan mengundi pemimpin yang berkelayakan. Kita pada waktu itu bukan lagi menentang pemerintah kerana kerajaan sudah dibubar. Memang dalam Islam menentang sesebuah kerajaan yang sedang memerintah adalah haram.
- Pemimpin yang berkelayakan ada empat sifat; berkemampuan (qawi) dan berintegriti (amin), amanah menjaga harta (hafiz) dan berpengetahuan (alim).
- Untuk mengundi kita bukan saja perlu lihat berasaskan orang dan sifatnya tetapi juga melihat parti dan pakatan yang telah dipersetujui sebagai dasar.
- Apabila negara tidak aman, berlaku kecurian dan seumpamanya, itulah tanda kepimpinan terdapat masalah yang perlu dirawat.
- Politik sebahagian daripada Islam dan termasuk dalam persoalan muamalat. Berpolitik dalam sesebuah negara adalah untuk maslahah umum.
- Politik yang diperjuangkan itu mestilah tidak bertentangan dengan nas al-Quran dan hadis.
- Politik yang dibawa adalah idealism untuk kebaikan dan keamanan negara bukan perkauman yang mengenepikan suatu kaum. Jadi, mengundi adalah untuk menolak kemungkaran.
- Bila kita berhadapan dengan parti bukan Islam kita perlu lihat kepada mana yang kurang mudarat, maka kita boleh menyokong parti tersebut.
Kita tidak boleh memilih pemimpin atau wakil rakyat
yang bermasalah iaitu:
- Minta dikenangkan jasa mereka kerana yang demikian menunjukkan mereka tidak ikhlas.
- Pemimpin yang gagal menjalankan tugas semasa diberikan amanah.
- Suka membuat andaian salah terhadap lawannya.
fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan