Rakyat Syria hampir menang
Rabu 25 Julai,2012
|
ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa kebangkitan rakyat Syria menentang Presiden Bashar Al-Assad semakin hampir menuju kemenangan.
Beliau juga memberi amaran bahawa Turki akan bertindak balas jika terdapat sebarang tindakan permusuhan daripada Syria.
Turki sebelum ini meminta Bashar meletakkan jawatan selepas beliau gagal untuk membawa pembaharuan.
Ribuan penduduk Syria mendapatkan perlindungan di sempadan Turki ekoran pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.
Pertempuran itu bermula sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 19,000 orang terbunuh.
Hubungan antara Turki dengan Syria merosot pada bulan lalu apabila sebuah jet Turki ditembak jatuh oleh pasukan pertahanan udara Syria.
Syria menyatakan ia menembak jet pejuang F-4 yang terbang rendah pada kelajuan tinggi kerana tidak mengetahui ia milik Turki.
Sementara itu, para pemberontak Syria menyatakan bahawa tentera pemerintah telah memindahkan senjata kimia ke lapangan terbang dekat sempadan negara tersebut.
Kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdisi menyatakan negaranya tidak akan menggunakan sebarang senjata kimia atau bukan konvensional terhadap penduduk awam.
Seorang pegawai pertahanan Israel semalam menyatakan bahawa senjata kimia itu masih berada dalam kawalan pemerintah Syria.
"Kebimbangan pastinya, rejim Bashar akan menjadi tidak stabil dan kawalan senjata itu juga menjadi tidak stabil," kata pegawai tersebut, Amos Gilad kepada Radio Israel.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama turut meminta Bashar tidak melakukan kesilapan dengan menggunakan senjata kimia.
"Mereka (rejim Bashar) akan dipertanggungjawabkan oleh masyarakat antarabangsa dan AS jika mereka melakukan kesilapan dengan menggunakan senjata tersebut," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, seramai 14 orang terbunuh di seluruh Syria semalam.
Menurut Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, sejumlah 116 orang mati kelmarin.
Antara yang terbunuh itu ialah empat orang awam dan seorang pemberontak di bandar Aleppo, empat penduduk awam di Damsyik, seorang pemberontak di Deir Ezzor serta empat askar Syria di Idlib. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan