Ijab Kabul Terima Tanggungjawab Berat
Ahmad Baei Jaafar
“Aku terima nikah Aminah binti Muhammad dengan mas kahwinnya RM300 tunai."
Demikian jawab pengantin lelaki sebaik-baik sahaja bapa pengantin perempuan mengusulkan, “Aku nikahkan dikau dengan anakku, Aminah binti Muhammad dengan mas kahwinnya RM300 tunai.”
Lafaz sebegini pada sesetengah orang, boleh dilakukan dengan sekali lafaz sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat juga pada sesetengah tempat, saksi mahu lafaz itu diulangi sehingga tiga kali walaupun pada dasarnya ia sudah boleh diterima. Ada saja kesalahan yang dicari walaupun amat remeh temeh. Pada pandangan mereka, cara itu adalah untuk mendapat pahala sunat tiga kali. Benarlah, dalam Islam tiga kali itu sunat, tetapi tidak semua perkara perlu diulang sebanyak tiga kali.
Sebenarnya dalam soal ijab kabul ini banyak bergantung kepada kuasa dan ilmu penolong pendaftar nikah yang dilantik kerajaan, atau wali yang menikahkan anaknya itu. Ini kerana dia yang menerima ucapan atau lafaz balas menerima perkahwinan itu, tentulah dia yang mendengarnya secara langsung. Maka dia yang boleh menentukan sama ada lafaz itu terpakai atau tidak.
Saksi yang diminta hadir ke dalam majlis itu bukan bertujuan mengesahkan lafaz ijab kabul perkahwinan itu tetapi untuk menjadi saksi kewujudan majlis akad pada hari itu. Boleh jadi tanpa saksi, wali dan pengantin boleh menyembunyikan keadaan sebenar. Dan, boleh jadi tidak wujud majlis akad nikah pun.
Berdasarkan itu, saksi tidak perlu membantah jika wali telah menerimanya sebagai sah kecuali jika memang ternyata salah yang tidak disedari walinya. Dalam keadaan itu, wali perlu akur dengan pandangan saksi.
Kesan Ijab Kabul
Apabila seseorang lelaki berjaya melafazkan ijab kabul, semua orang berasa lega dan gembira terutama pengantin lelaki. Mereka gembira kerana penantian pasangan tersebut untuk disatukan sudah tamat. Pastinya pengantin yang terbabit lebih berasa lega kerana segala pantang larang selama ini sudah tamat dan kini mereka bebas sebagai pasangan suami dan isteri.
Tetapi persoalannya, tahukah pengantin lelaki itu akan mesej yang terkandung dalam lafaz ijab kabul itu? Saya percaya kalau pengantin lelaki itu faham tentu dia hanya akan gembira sedikit kerana mengenangkan tanggungjawabnya yang besar selepas itu. Mengapa tidak? Bapa mentuanya telah melepaskan tanggungjawab menjaga anak perempuannya kepada menantunya. Maknanya dia mahu anaknya dijaga seperti dia menjaganya. Dia mahu anaknya dididik dengan iman dan takwa, mana-mana yang tidak sempat dididik semasa di tangannya.
Selain itu sedarkah dia bahawa segala kesalahan dan dosa isteri, dia perlu ambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya? Dosa yang lalu memanglah tertanggung pada bahu masing-masing, tetapi selepas berkahwin, suami perlu bertanggungjawab membendungnya. Dalam keadaan ini kalau dia membiarkan sahaja segala perlakuan si isteri tanpa tunjuk ajar yang betul, maka dia turut berdosa seperti pengamalnya juga.
Menyedari keadaan itu, suami perlulah lebih serius dalam mengurus dan mentadbir rumah tangga sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Oleh sebab itu, suami perlu lebih tahu tentang ilmu agama khususnya dalam soal hukum-hukum yang berkaitan hal rumah tangga. Suami juga perlu lebih kuat iman dan takwa terutama dalam mendidik isteri dan anak-anak.
Suami yang cukup ilmu pengetahuan agama dan ditambahkan dengan iman dan takwa pasti mampu membawa isterinya ke jalan syurga dengan mengamalkan ajaran Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Pada masa yang sama dia akan mengelak dari jalan-jalan ke neraka bagi menyelamatkan diri dan isterinya.
Sejauh Mana Suami Faham?
Walaupun pengantin lelaki dan perempuan diingatkan oleh imam nikah dalam khutbah nikahnya tentang tanggungjawab dan kewajiban suami dan isteri, mereka yang sedang dalam keadaan teruja dan terlalu gembira itu begitu mudah melupai pesanan itu. Buktinya, apabila kenduri kahwin diadakan, pengantin perempuan akan bertukar wajah, pakaian sopan semasa akad nikah di masjid itu hilang serta-merta dang berganti dengan berbagai-bagai persalinan yang tidak menitikberatkan soal syariat.
Pendedahan aurat berlaku tanpa menghormati hukum Islam lagi. Alasan biasa yang diberi, kehendak mak andam atau ibu bapa, maka mereka tidak boleh buat apa-apa. Sesungguhnya perempuan yang kuat iman dan takwanya pasti mampu menolak. Hal ini kerana masa untuk memilih pakaian telah dilakukan sebelum majlis itu diadakan lagi.
Selain itu pengantin lelaki yang kini berjawat tanggungjawab seorang suami juga tidak boleh bersuara, apa yang berlaku terpaksa diterima. Namun sebagai suami tanggungan hukum sudah berada di atas bahunya selepas diijab kabulkan. Ketika itu dia sudah wajib melarang isterinya mendedahkan aurat. Maka secara sedar dia turut berdosa atas perbuatan isterinya itu jika tidak melakukan apa-apa untuk menegahnya.
Kemudian pada hari-hari berikutnya, kehidupan rumah tangga berjalan seperti lazimnya. Rasa bahagia dan kasih sayang dapat dilihat pada wajah mereka berdua. Namun ketika itu kesalahan isteri akan dibiarkan begitu atas dasar sayang dan cinta. Mungkin juga atas rasa masih awal untuk menegur kesalahannya. Tetapi akhirnya kesalahan itu menjadi kebiasaan yang kemudiannya sukar ditegur lagi. Ketika itu teguran suami akan ditentang lalu dengan itu sukar baginya bertindak sebagai suami.
Bayangkan berapa banyak dosa sebagai suami yang harus dipikul selain dosanya sendiri. Inilah kesan daripada kejahilan mereka tentang hukum Allah. Semuanya berpunca daripada kecuaian dalam mendalami ilmu agama sebelum berkahwin dan semasa melayari bahtera rumah tangga. Memang sebelum berkahwin setiap pasangan menghadiri kursus pra perkahwinan. Tetapi kursus selama dua hari itu tidak cukup untuk mematangkan ilmu agama mereka. Banyak lagi ilmu yang mereka perlu tahu termasuk ilmu pentadbiran dan pengurusan rumah tangga.
Tanggungjawab Utama
Menerima ijab kabul bererti seorang suami menerima amanah ibu bapa isterinya dan Allah. Maka dengan sebab itu dia tidak harus ada alasan untuk mengelak daripada amanah itu. Dalam ruangan yang ada ini, mari kita selongkar amanah yang tersirat dalam ijab dan kabul itu.
Amanah dalam Lafaz Ijab Kabul
· Amanah Allah.
Suami wajib menjadi khalifah Allah atau dalam bahasa mudah menjadi pemimpin kepada isteri dan anak-anak. Sebagai pemimpin suami ada dua peranan iaitu memastikan isteri dan anak-anak mematuhi perintah Allah. Pastikan mereka melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji. Pastikan mereka sentiasa jauh daripada melakukan dosa walaupun dosa kecil.
Peranan kedua, mengurus rumah tangga dan menyediakan keperluan hidup agar isteri dan anak tidak kebuluran. Oleh sebab itu suami perlu bekerja bagi mendapat upah yang selayaknya untuk menyara isteri dan anak-anak. Suami perlu menyediakan keperluan hidup mengikut kemampuan, maka kalau sedikit rezekinya, itulah yang harus diberikan kepada mereka. Dan kalau banyak jangan pula sampai membazir kerana pembaziran adalah amalan syaitan.
· Amanah ibu bapa mertua.
Menantu diberi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi oleh mertua dalam menjaga anaknya. Maka sebagai suami dia wajib menjaga keperluan isterinya zahir dan batin. Suami tidak boleh menyakiti hati isterinya kerana dengan itu akan terguris hati ibu bapanya. Maka dengan sebab itu kalaulah berlaku krisis rumah tangga, selesaikan dengan baik secepat mungkin.
Kecuaian suami dalam menjaga keperluan ini mengakibatkan krisis yang sedikit akan membesar dan akhirnya membawa kepada perceraian. Ini tidak seharusnya berlaku dalam rumah tangga. Oleh sebab itu bendunglah krisis itu dengan sebaik-baiknya dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh menjadi punca berlaku krisis. Dan jika ia terjadi juga, duduklah berbincang dan hindari sikap saling salah menyalahkan. Masing-masing pihak perlu melapangkan dada dan sama-sama mencari jalan penyelesaian dengan matlamat, apa jua tindakan yang dilakukan adalah demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Jika perlu mintalah bantuan pakar bagi menyelamatkan keadaan.
Pada masa yang sama, jangan lupa untuk meminta khidmat nasihat ibu bapa masing-masing. Mungkin dengan itu mereka dapat menyumbang petua yang baik untuk memulihkan keadaan. Cuma dalam hal ini, ibu bapa jangan sesekali menyalahkan menantu kerana kesannya bukan merawat tetapi hanya meruntuhkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Saya percaya jika suami dapat memelihara amanah Allah dan amanah ibu bapa ini dengan sebaik-baiknya, akan tercapaikan apa yang dikatakan rumah tangga bahagia, yang di dalamnya wujud rasa mawaddah dan rahmah, ada rasa kasih sayang dan saling mencintai kerana Allah.
Sumber fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan