Isnin, 27 Jun 2011

Nahdlatul Ulama mahu fatwa larang wanita Indonesia kerja di luar negara

June 27, 2011
Pekerja wanita menunggu di sebuah terminal khas di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta, 28 Oktober 2009. — Foto Reuters
JAKARTA, 27 Jun — Bekas ketua Lembaga Nasional Nahdlatul Ulama (PBNU) Hasyim Muzadi menggesa Majlis Ulama Indonesia (MUI) supaya mengeluarkan fatwa berkenaan penghantaran pekerja asing wanita ke negara lain.

Hasyim merujuk kepada protes pemimpin-pemimpin agama Robithoh Alam Islami, sebuah pertubuhan Islam antarabangsa yang ditubuh 1962, berkenaan amalan Indonesia menghantar tenaga kerja wanita ke luar negara.

“Bukankah menghantar seorang wanita ke tempat yang jauh tanpa mahram dilarang oleh undang-undang Syariah?” kata Hasyim dalam laporan dipetik Jakarta Globe hari ini.

Hasyim berkata “mereka meminta ulama-ulama Indonesia berfikir dengan mendalam mengenai situasi itu.”

“Mereka juga berkata tiada negara Islam, tidak kira sejauh mana miskinnya mereka, menghantar tenaga kerja wanita ke Arab Saudi.”

Kata Hasyim, beliau pernah membawa isu itu ke perhatian Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan MUI, tetapi gagal memperoleh sebarang respons.

“Oleh itu, saya merayu MUI agar mengeluarkan fatwa tegas dan bagi ulama di seluruh negara, menggesa kerajaan berhenti daripada menghantar pekerja wanita ke luar negara,” katanya lagi.

Pada 23 Jun lalu, Indonesia mengumumkan keputusan menghentikan sementara pengiriman tenaga kerja Indonesia ke Arab Saudi mulai 1 Ogos ini setelah seorang pembantu rumah dari Indonesia menjalani hukuman pancung kerana kesalahan membunuh ibu majikannya.

Moratorium itu akan dikuatkuasakan sehingga kedua-dua negara itu dapat mewujudkan kesepakatan melalui satu perjanjian yang menjamin perlindungan dan pemberian hak kepada tenaga kerja Indonesia.

Indonesia juga akan menetapkan satu dasar nasional mengenai pengiriman tenaga kerja negara itu ke luar negeri di masa depan, setelah satu kajian mengenainya selesaikan dilakukan oleh sebuah pasukan khas.

Susilo membantah keras tindakan Arab Saudi melaksanaan hukuman mati terhadap pembantu rumah bernama Ruyati itu tanpa memberitahu pihak Indonensia kerana ia jelas melanggar prosedur antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan