Sayangi remaja dengan didikan yang betul
Ahmad Baei Jaafar
Kecuaian dan kesilapan ibu bapa dalam memberi didikan kepada anak-anak boleh mengakibatkan mereka tersasar dari landasan yang betul. Tahukah anda, Islam perintahkan ibu bapa menyuruh anaknya supaya solat waktu usia tujuh tahun ada sebabnya. Bukan sekadar suruh anak solat dan apabila anak itu sudah melakukannya, ditinggalkan begitu sahaja.
Tetapi suruhan solat ini hendaklah dengan penuh kasih sayang. Manakala pendekatan suruhan itu perlukan latih tubi selama tempoh tiga tahun. Bayangkan kalau tiga tahun dididik dan diawasi dengan penuh cermat, mampukah dia mencuri tulang lagi untuk lari daripada solat. Kemungkinan besar mereka tidak sanggup kerana sudah ada rasa satu dosa kalau meninggalkan solat.
Namun realiti yang berlaku pada hari ini, pada waktu anak-anak masih kecil, mereka diasuh oleh pengasuh taska dan tadika. Pada waktu itu, mereka sudah diajar doa makan, doa belajar, doa masuk tandas dan sebagainya. Tetapi doa itu tidak lagi diamalkan di rumah apatah lagi kalau iba bapa tidak berminat untuk mendengar atau membacanya.
Apabila anak-anak itu memasuki sekolah rendah dan menengah, terdapat sistem pembelajaran agama yang baik. Di sekolah latihan solat berjemaah telah dilakukan terutama pada waktu zohor. Tetapi bagaimana ketika anak-anak itu pulang ke rumah? Ibu bapa langsung tidak memberi perhatian kepada perkara itu, malah ada ibu bapa yang tidak mahu menunaikan solat.
Jelas di sini, ibu bapa tidak berperanan pada usia anak itu tujuh tahun selama tiga tahun. Kalau inilah yang berlaku, apa yang akan terjadi kepada anak itu apabila dewasa kelak? Sudah pasti mereka tidak akan melakukan solat dan ibadah-ibadah lain. Kalaupun terdapat mereka yang melakukan solat, hanya kerana malu kepada kawan atau takut dimarahi ibu, bukan kerana tanggungjawab kepada Allah.
Jadi, proses didikan solat ini perlu dimulakan dari usia tujuh tahun dan berterusan selama 3 tahun. Apabila anak itu telah berusia 10 tahun, keadaannya perlu dipantau kerana lazimnya menjelang usia baligh seseorang itu sedang bertarung dengan godaan nafsu dan syaitan. Oleh sebab itulah Rasulullah mengingatkan ibu bapa agar merotan anak jika tinggalkan solat.
Rotan penting di usia ini kerana kanak-kanak pada peringkat ini sudah boleh berfikir mana yang baik dan mana yang jahat. Maka apabila anak itu diberi peringatan dengan rotan, dia akan melakukan yang terbaik. Solat yang dilakukan bertambah baik dan lebih khusyuk berbanding sebelumnya.
Tegasnya, anak yang terdidik sejak awal ini, akan mudah terkesan apabila diberi amaran dengan rotan. Tetapi kalau ibu bapa sudah gagal mendidik anak seusia tujuh tahun, rotan sudah tidak berkesan lagi pada usia 10 tahun. Inilah yang berlaku kepada remaja sekarang, mereka sudah tidak “makan saman” dengan ugutan rotan oleh ibu bapa mereka.
Didik iman
Selain solat, anak-anak ini perlu diberi perhatian kepada didikan iman. Iman adalah teras segala kekuatan yang memantapkan jati diri seseorang. Iman pada diri seseorang kalau hendak ibarat dengan sebatang pokok ialah akarnya. Keimanan kepada Allah adalah ibarat akar tunjangnya. Maka paling jauh akar itu ke dalam bumi pasti pokok itu akan terus kukuh berdiri.
Sebenarnya seseorang yang keimanannya kepada Allah tidak mantap, walaupun masih ada iman kepada rukun iman yang lain, jati dirinya tidak begitu kukuh. Iman tanpa keimanan kepada Allah yang mantap ibarat pokok yang tidak ada akar tunjang, mudah tumbang apabila dipukul rebut. Ini seperti pokok kelapa yang semangnya tidak ada akar tunjang.
Menyedari keadaan ini, anak-anak sebelum menjelang remaja perlu dikuatkan keimanan mereka kepada Allah. Didikan iman sama seperti didikan solat, perlu latih tubi beberapa tahun. Mungkin anda pernah dengar kisah seorang remaja pengembala kambing pada zaman Sayidina Umar al-Khattab.
Tatkala Khalifah Sayidina Umar al-Khattab membuat tinjaun ke atas akitiviti umat Islam beliau bertemu dengan seorang remaja yang sedang mengembala puluhan kambing. Khalifah yang tidak dikenali remaja itu, cuba bertanya, “bolehkah kamu menjual seekor kambing ini kepada ku?”
Remaja itu berkata, “maaf tuan, saya tidak diamanahkan untuk menjual.” Lalu Sayidina Umar berkata, “Tuan kamu tidak ada dan kalau kamu menjual seekor, pasti tuanmu tidak sedar. Dan wang jualan ini boleh kamu gunakan untuk keperluan kamu.”
Remaja itu dengan tegas berkata, “kalaupun tuan saya tidak ada dan tidak nampak, tetapi tuhan kepada tuan saya ada dan nampak perbuatan saya.”
Mendengar itu, khalifah berasa syukur kerana remaja ini sudah kukuh iman dan kukuh jati dirinya. Kerana dengan keimanan kepada Allah menjadikan dia tidak sanggup menipu tuannya walaupun peluangnya sudah di hadapan mata.
Keimanan yang semantap itu, sudah tentu bukan didikan sehari dua, tetapi bermula tiga tahun lalu. Persoalannya, berapa lama kita didik iman anak kita pada hari ini? Setahu saya proses didikan iman ini tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita. Belajar ilmu akidah, rukun iman belum menepati didikan iman yang saya maksudkan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan