Kuan Yew Berkempen Minta Rakyat Ingat Asal Usul Singapura
26 April 2011
SINGAPURA - Menteri Mentor Lee Kuan Yew menyampaikan mesej pilihan raya ringkas kepada rakyat Singapura semalam dengan menggesa mereka agar melihat kepada asas dan tidak meruntuhkan teras yang telah membolehkan Singapura berkembang sebagai sebuah negara moden seperti sekarang.
Mengingatkan rakyat bahawa hala tuju negara adalah di tangan mereka pada pilihan raya 7 Mei depan, pengasas negara Singapura itu mahu mereka 'mengingati kembali asal usul Singapura dan bagaimana sukarnya untuk kita meningkat maju seperti yang kita nikmati sekarang ini'.
Singapura seperti yang kita kenali sekarang tidak berlaku kerana nasib, tetapi melalui perancangan teliti oleh para pemimpin generasi pertama, yang mengetuai pemerintahan sendiri Singapura pada 1959, kata Kuan Yew dalam satu kenyataan kepada media.
"Semua sekolah, hospital, universiti, pasukan polis, angkatan bersenjata, tentera udara, kami bina semuanya bermula dengan sifar," katanya.
"Jangan runtuhkan teras ini. Ingatlah asal usul Singapura, betapa susahnya untuk kita sampai kepada apa yang kita ada sekarang ini. Apabila generasi bertukar, terdapat risiko generasi seterusnya akan membuang apa yang telah mereka warisi tanpa berfikir panjang," tambah pemimpin itu.
Beliau menyatakan bahawa dalam pilihan raya umum 7 Mei depan, parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengetengahkan calon-calon yang berkaliber tinggi dengan rekod prestasi yang menunjukkan mereka tidak akan gagal dalam memikul amanah yang akan diberikan.
"Kita mencari ke dalam masyarakat Singapura untuk memilih mereka yang memiliki keupayaan dan integriti paling tinggi untuk mengemudi Singapura ke hadapan. Kita tidak akan dapat mencapai satu titik yang mana kita boleh bergantung kepada pengemudian secara automatik yang mana sesiapa sahaja boleh mengambil alih pentadbiran negara. Kita bukannya tinggal di Dunia Disney (alam fantasi)," kata pemimpin berusia 87 tahun itu.
Pada pilihan raya kali ini, Kuan Lee akan bertanding merebut kerusi daerah Tanjong Pagar iaitu kerusi pertama yang dimenanginya dalam pilihan raya pada tahun 1955..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan