Khamis, 21 April 2011

Adil dalam Islam bukan sekadar sama rata

Tafsir Ayat: Adil dalam Islam bukan sekadar sama rata, persamaan hak
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

2011/04/21
ALLAH berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu
mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil
(kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan
bertakwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan." (Surah Al-Maidah, ayat 8)

Antara misi utama Islam diutuskan kepada seluruh alam untuk menyebarkan mesej
keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan manusia sejagat. Mesej ini yang
mengiringi perutusan nabi dan rasul kepada kaum masing-masing. Justeru, Islam
menganjurkan umatnya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka.
Tambahan pula, perintah itu datang seiringan dengan sifat Allah sendiri yang
Maha Adil dan mengharamkan Zat-Nya daripada melakukan kezaliman. Diriwayatkan
dalam hadis yang bermaksud: "Wahai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan
sifat kezaliman dalam ZatKu dan Aku juga mengharamkan sifat itu di kalangan
kamu. Oleh itu, jangan kamu zalim menzalimi antara sesama kamu." (Hadis riwayat
Muslim)

Adil membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan seperti difahami
kebanyakan umat Islam kini bahawa adil itu sama rata atau persamaan hak. Dalam
al-Quran, ada banyak ayat suci membicarakan mengenai keadilan supaya dapat
dijulang untuk mendasari setiap ruang hidup manusia sejagat.

Perlu diingat, keadilan yang diwar-warkan Islam tidak terhad kepada golongan
pemimpin saja tetapi semua lapisan masyarakat Islam terdiri daripada suami
isteri, penjual dan pembeli, kadi, sesama Muslim dan antara pemimpin dengan
rakyatnya.

Ini bertepatan sifat kesyumulan dan kesejagatan yang menghiasi Islam itu
sendiri. Oleh itu, setiap warga Muslim yang melafazkan dua kalimah syahadah
sewajarnya menjulang tinggi perintah Ilahi ini supaya konsep keadilan dapat
direalisasikan dan ditegakkan dalam masyarakat sejagat.
Pada masa sama, Allah memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan
terperangkap dengan penyakit hati seperti dengki dan kebencian yang akan
mengakibatkan keruntuhan serta kehancuran bangsa itu sendiri.

Paling istimewa, sifat adil akan menghiaskan diri seseorang Muslim dengan
perhiasan takwa iaitu neraca piawaian yang utama untuk memburu darjat istimewa
di sisi Allah. Takwa, tiket yang tiada nilainya untuk menjejakkan kaki ke pintu
syurga penuh kenikmatan.

Menurut Prof Dr Hamka, keadilan pintu terdekat kepada takwa, sedangkan rasa
benci hanya menyebabkan seseorang itu jauh dari Allah. Apabila seseorang Muslim
menegakkan keadilan, jiwanya akan merasai kemenangan yang tiada taranya
Lawan adil adalah zalim dan zalim kemuncak kemaksiatan kepada Allah. Maksiat
akan menyebabkan jiwa merana dan sengsara.

Seterusnya, Islam menuntut kepada seorang suami supaya berlaku adil kepada
isterinya kerana Islam melarang sama sekali sebarang bentuk kezaliman dan
penderaan dalam institusi rumah tangga. Oleh itu, jika suami merasakan tidak
dapat berlaku adil, maka memadai mengahwini seorang isteri.

Begitu juga seorang Muslim yang diamanahkan memikul jawatan kadi supaya dapat
bersikap adil, berwaspada serta tidak berat sebelah dalam memutuskan hukuman
kepada pesalah biarpun daripada kalangan keluarga dan kerabatnya.

Sehubungan itu, Rasulullah menegaskan kehancuran umat zaman silam disebabkan
pelaksanaan hukum bersifat berat sebelah iaitu melepaskan hukuman kepada orang
berada dan dijatuhi hukuman kepada orang hina dina.

Diriwayatkan, Rasulullah bersumpah dengan nama Allah bahawa jika Fatimah anak
perempuannya sendiri mencuri sudah pasti Baginda akan memotong tangannya. (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang pemimpin juga dituntut bersikap adil dan saksama dalam kepemimpinannya
dan jangan sesekali melakukan kezaliman kepada manusia sejagat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kepimpinan itu satu amanah yang berat.
Pada hari kiamat nanti ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan
seorang pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab kepemimpinannya dengan amanah
dan adil kepada rakyat bawahannya." (Hadis riwayat Abu Hanifah)

Demikian betapa luasnya konsep keadilan dalam Islam. Justeru untuk menjamin
kelangsungan Islam supaya terus bertapak di bumi Allah ini, konsep keadilan
perlu disemai dan dibajai supaya bertunjang dalam kehidupan ummah sejagat.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian
Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan