Selasa, 30 November 2010

Salman al-Farisi suka bantu

SALMAN al-Farisi adalah sahabat Nabi Muhammad. Beliau dilahirkan di perkampungan
Parsi yang dikenali sebagai Jian atau Ispahan lama. Beliau berasal daripada
keluarga yang berpengaruh dan kaya.

Ayahnya mempunyai tanah pertanian yang luas. Salman pernah ditugaskan menjaga
api dan disembah oleh penganut agama Majusi.

Masa remajanya berubah selepas beliau menganut agama Kristian. Pada masa itu,
beliau tinggal di kota Ispahan. Semasa beliau berumur 12 tahun, seorang tokoh
paderi Kristian memberitahunya supaya mengikuti ajaran nabi akhir zaman iaitu
Nabi Muhammad.

Salman al-Farisi menganut agama Islam pada tahun pertama Hijrah bersamaan 623
Masihi. Beliau hidup sederhana. Beliau mempunyai tiga orang anak perempuan.
Beliau meninggal dunia pada umur 88 tahun.

Beliau meninggal dunia pada masa pemerintahan Khalifah Usman bin Affan.
Jenazahnya dikebumikan di Madinah yang terletak di Iraq.

Salman al-Farisi dilantik sebagai gabenor di Parsi. Namun beliau tidak pernah
bersikap bangga diri. Malah, beliau sendiri bersikap rendah diri. Hal ini
menyebabkan ada antara rakyat yang tidak mengenalinya sebagai seorang gabenor.

Pada suatu hari, semasa Salman al-Farisi sedang berjalan-jalan, tiba-tiba beliau
ditahan oleh orang awam.

"Ambil guni ini dan pikul semua isi rumput ini sampai ke rumah saya," arah orang
awam itu tanpa mengetahui lelaki itu adalah Salman.

Tanpa banyak bercakap, Salman terus sahaja mencapai dan memikul guni besar yang
berisi penuh dengan rumput itu.

"Bagus juga ada lelaki ini. Mudah kerja saya. Tidak perlu bersusah payah memikul
guni besar yang berat ini," bisik orang awam itu sambil tersenyum melihat Salman
al-Farisi memikul beban isi rumput itu.

"Bawa guni ini baik-baik. Pastikan rumput di dalam guni itu tidak terjatuh ke
tanah," arah orang awam itu kepada Salman al-Farisi.

"Baiklah. Kamu jangan risau. Saya akan membawa guni ini sehingga ke rumah awak,"
jawab Salman pula.

Salman al-Farisi terus mengikut orang awam itu sampai ke rumahnya. Dalam
perjalanannya, tiba-tiba mereka terserempak dengan seorang lelaki. Dia mengenali
Salman al-Farisi.

"Assalamualaikum tuan," kata lelaki itu.

"Waalaikumussalam," jawab Salman sambil tersenyum lebar.

"Mengapa tua memikul guni yang besar dan berat ini?" tanya lelaki ini.

"Orang itu mahu saya membawa guni ini. Jadi, saya membantu dengan ikhlas," jawab
Salman al-Farisi.

"Mengapa kamu berhenti dan meletakkan guni itu di atas tanah? Ayuh, cepat kita
pergi dari sini! Saya sudah penat. Saya mahu cepat sampai ke rumah dan berehat,"
kata orang awam itu dengan angkuhnya.

Melihat keadaan itu, lelaki yang mengenali Salman itu terus memberitahu orang
awam itu, "Kamu tidak tahukah lelaki yang memikul guni besar itu siapa?"

"Tidak, saya tidak mengenalinya," jawab orang itu.

"Lelaki itu adalah gabenor di wilayah ini. Beliau adalah Salman al-Farisi," kata
lelaki itu.

Orang awam itu tergamam mendengar berita itu. Dia berasa bersalah, lalu meminta
maaf kepada Salman al-Farisi. "Maafkan saya tuan. Saya benar-benar tidak
mengenali tuan sejak saya menyuruh tuan memikul guni ini. Maafkan saya, tuan."

"Tidak mengapa," jawab Salman pendek.

Orang awam itu berasa menyesal dengan perbuatannya itu, lalu berulang kali
meminta maaf. "Maafkan saya tuan. Saya menyesal dengan tindakan saya menyuruh
tuan memikul guni yang berat itu. Maafkan saya tuan."

"Saya maafkan kamu," kata Salman al-Farisi.

"Saya tetap akan membawa guni yang berisi rumput ini sehingga sampai ke rumah
kamu. Janganlah kamu berasa susah hati atau malu kepada saya. Saya ikhlas
membantu," kata Salman lagi sambil memikul guni yang berat itu.

Sifat peribadi Salman al-Farisi yang merendah diri dan mulia jiwanya itu
menyebabkan beliau dimuliakan oleh semua orang. Beliau juga tergolong dalam
salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang akrab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan