Sabtu, 2 Julai 2011

Greek secara rasmi larang kapal misi ke Gaza

TERKINI @ 09:31:46 AM 02-07-2011
July 02, 2011
Aktivis kapal misi kemanusiaan Audacity of Hope melambai ke arah orang ramai selepas Greek mengarah mereka kembali ke pelabuhan Keratsini, Athens semalam. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Penganjur Audacity of Hope mengesahkan pihak berkuasa menghalang sebuah kapal Amerika Syarikat yang meninggalkan pelabuhan Greek semalam dan mengeluarkan arahan secara rasmi melarang kesemua kapal misi kemanusiaan kedua ke Gaza.

Kapal digunakan sukarelawan dari Amerika Syarikat telah dipaksa kembali sejurus selepas ia meninggalkan kawasan pelabuhan.

Difahamkan ada sembilan kapal terlibat dalam misi kali ini. Semalam, Kementerian Perlindungan Rakyat Greek mengeluarkan arahan mengatakan menterinya C. Papoutsis telah memutuskan untuk melarang kapal-kapal sama ada yang menggunakan bendera Greek atau negara-negara lain daripada memasuki “kawasan perairan” Gaza.

Israel dilaporkan mengenakan tekanan ke atas Greek, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah sejak pertengahan bulan lalu agar tidak memberi kebenaran kepada kapal-kapal yang menyertai misi kali ini.

“Di bawah arahan ibu pejabat Hellenic Coast Guard kepada kesemua agensi Hellenic Coast Guard Authorities, semua pendekatan yang sesuai telah diambil untuk melaksanakan keputusan ini,” kata laporan Reuters memetik kenyataan itu.

Malaysia juga menyertai misi kemanusiaan kali ini, yang turut mencetuskan kontroversi di peringkat domestik, dengan menghantar 10 orang wakil termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy juga kelihatan kecewa dengan perkembangan terbaru di Athens.

Dalam mesej Twitter yang diikuti menunjukkan beliau menulis, “Greek secara rasmi mengharamkan kapal-kapal Flotilla II berlepas ke Gaza dari pelabuhan mereka. Bukti pengaruh Israel.”

Malah beliau juga menulis, “tindakan Greek ke atas Flotilla II menunjukkan bahawa kini Mediterranean dimiliki oleh Israel.

Mana Achilles? Mana Leonidas? Mana Alexander?”

Menurut laporan Reuters, Greek menegaskan kawasan perairan sebelah timur Mediterranean secara terus-menerus akan dipantau menggunakan kaedah elektronik bagi mengesan pergerakan kapal-kapal yang menyertai misi kemanusiaan Gaza.

Sementara Cyprus sudah pun melarang kapal-kapal yang menuju ke Gaza, pihak berkuasa Greek tidak mengambil pendekatan keras mereka sehingga semalam.

Lewat semalam kapal Audacity of Hope diarah kembali ke Pelabuhan Perama selepas ditahan oleh komando Greek. Pada 23 Jun lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menegaskan pihaknya menentang rancangan aktivis pro-Palestin termasuk 10 orang dari Malaysia yang mahu mengadakan misi kemanusiaan kedua ke Gaza sambil menyifatkan ia satu tindakan yang hanya akan memprovokasi Israel.

“Kami tidak percaya misi kemanusiaan ini perlu atau satu usaha yang berguna dalam membantu penduduk Gaza,” kata beliau.

Jabatan Negara Amerika Syarikat juga memberi amaran kepada rakyat agar tidak mengambil bahagian dalam misi itu. Israel sebelum ini menegaskan akan menghalang kehadiran misi tersebut.

Sepuluh sukarelawan Malaysia berlepas ke Athens Ahad lalu bagi menyertai misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza selama seminggu.

Kira-kira 600 sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 20 negara dilaporkan menyertai misi kali ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan