Pemberontakan kemuncak kemarahan rakyat terhadap pemerintahan ibarat Firaun
moden
DUNIA Arab sudah dilihat dengan lensa berlainan sejak beberapa minggu ini.
Bermula kejayaan rakyat Tunisia menjatuhkan rejim pemerintahan Ben Ali, ia
merebak ke Mesir dan Yaman. Malah rakyat Jordan dilaporkan mahukan pembaharuan
dalam sistem politik mereka.
Namun, Mesir mendapat liputan meluas di Malaysia dan seluruh dunia kerana rakyat
Mesir tanpa mengira agama bersatu menentang kekejaman kerajaan Hosni Mubarak.
Malah Mesir amat penting bagi menentukan hala tuju perjuangan di Palestin kerana
selama ini Mesir dilihat selalu bersekongkol dengan Rejim Zionis bagi menindas
perjuangan rakyat Palestin.
Mesir juga begitu dekat di hati rakyat Malaysia kerana ada lebih 11,000 rakyat
negara ini khususnya pelajar, yang menuntut pelbagai jurusan di sana.
Rakyat keempat-empat negara Arab ini sudah melakukan anjakan paradigma yang
begitu besar dan tidak mustahil negara Arab lain yang begitu konservatif akan
turut menyertai perjuangan menegakkan kebenaran.
Sudah kedengaran suara sama ditimbulkan di Sudan dan Syria. Mungkin kerajaan
negara Arab lain perlu lebih terbuka dalam soal ini dan merubah landskap politik
negara masing-masing.
Tidak boleh diketepikan juga, bukan saja negara Arab akan terkesan dari
perjuangan rakyat Mesir ini malah negara Islam bukan Arab lain akan melihat
situasi di Mesir memberi impak kepada perjuangan mereka. Kemungkinan negara
bukan Islam juga akan mengambil pengajaran dari peristiwa di Mesir.
Beberapa negara Islam seperti Arab Saudi sudah memulakan langkah transformasi
negara mereka terlebih dulu. Sejak pemerintahan Raja Abdullah, Arab Saudi sudah
menjalankan pelbagai transformasi seperti mengatasi pengangguran, isu hak asasi
dan meningkatkan peranan agama dalam pentadbiran kerajaan. Itulah sebabnya kita
lihat ulama di Arab Saudi berada di belakang Kerajaan Arab Saudi dan bekerjasama
bagi memastikan kemajuan negara.
Berbalik kepada situasi di Mesir, Hosni Mubarak yang memerintah Mesir lebih 30
tahun sudah tidak lagi diterima rakyat Mesir. Tawaran Mubarak untuk tidak
bertanding pada pilihan raya akan datang dipandang sinis rakyat kerana mereka
mahu Mubarak melepaskan jawatan serta-merta disebabkan kegagalan Mubarak
mentadbir negara yang penuh rasuah dan penindasan itu.
Sebuah Mahkamah di Kaherah memutuskan apa-apa keputusan Mubarak selepas 28
Januari adalah tidak sah. Malah, negara Eropah juga memberi isyarat jelas kepada
Mubarak supaya berundur dengan segera dan menghormati suara rakyat.
Hanya Israel yang berusaha mempertahankan Mubarak. Sudah tidak tersirat lagi,
Israel mempunyai kepentingan besar dalam pentadbiran Mubarak. Jika kita imbau
ketika pemerintahan Mubarak, terowong penghantaran makanan ke Palestin
diletupkan dan pintu masuk ke Rafah juga dibuka dalam waktu begitu terhad
bertujuan menyukarkan rakyat Palestin menjalani kehidupan seharian mereka.
Mubarak begitu angkuh ketika pemerintahannya, tiada nilai kemanusiaan diberikan
kepada rakyat Palestin yang menagih simpati ke seluruh dunia. Mubarak menjadikan
Gaza penjara terbesar di dunia. Kezaliman kerajaan dan kesabaran rakyat yang
memuncak menyebabkan rakyat hilang sabar dan berjuang menumpaskan Mubarak.
Inilah yang berlaku saat ini di seluruh Mesir.
Sistem pemerintahan Mesir di bawah Mubarak tiada bezanya dengan kerajaan Tunisia
sebelum ini. Mereka melakukan penindasan terhadap rakyat, penipuan dalam pilihan
raya, rakyat Mesir terus tertekan dengan kehidupan di sana.
Kini kemarahan rakyat Mesir semakin meluap-luap dan sudah mencapai kemuncak
demonstrasi untuk tuntutan bagi mengembalikan pemerintahan yang lebih adil
kepada mereka. Yang pastinya, rakyat Mesir mahukan Hosni Mubarak letak jawatan
serta-merta.
Pemerintah Mesir ibarat Firaun moden. Nama saja Islam tapi terlalu sekular.
Mereka sanggup buang air di dinding masjid. Mubarak menyekat sempadan laluan
untuk memasuki Gaza. Makanan dan ubatan semuanya rosak ketika di sempadan
Mesir-Gaza sepanjang 14 kilometer.
Hari demi hari rakyat Mesir berkumpul bagi menzahirkan bantahan terhadap Mubarak
yang masih mahu bertahan melindungi kepentingannya serta kroni di belakang
beliau. Mungkin rakyat Mesir menunggu sehingga 12 Februari nanti untuk melakukan
sesuatu kerana 12 Februari 1949 adalah tarikh sering diingati rakyat Mesir
khususnya Ikhwanul Muslimin. Pada tarikh itulah ikon Ikhwanul Muslimin dibunuh
oleh Kerajaan Mesir.
Anak kelahiran Buhairah, Mesir yang menghafal al-Quran ketika berusia 12 tahun
ditembak tujuh das ketika menunggu teksi untuk pulang dari pertemuan dengan
seorang menteri yang tidak muncul pada saat dijanjikan.
Perjuangan rakyat Mesir dilihat sebagai pemangkin kepada perjuangan menentang
kezaliman di seluruh dunia. Dunia mesti mengambil iktibar daripada perjuangan
melepaskan diri daripada kongkongan kezaliman dan penindasan. Situasi di Mesir
mungkin berbeza dengan Malaysia, namun Malaysia harus mengambil pengajaran
daripada apa yang berlaku di negara itu.
Semoga rakyat Mesir beroleh kejayaan bagi menentang kezaliman. Kerajaan dan
rakyat Malaysia juga perlu berganding bahu supaya kekalutan di Mesir tidak
berlaku di Malaysia.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh
dihubungi di zainul.rijal@...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan