Jumaat, 26 April 2013


DATUK NIK ABDUL AZIZ: Mahu laksana hudud walaupun ia tidak disetujui oleh DAP.
- Foto fail

Nik Aziz perjelas hukum hudud hanya untuk penganut Islam

KOTA BHARU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan melaksanakan undang-undang hudud jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, walaupun ia bakal ditentang oleh salah satu parti komponen pakatan pembangkang itu.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bagaimanapun, berkata hukum hudud hanya untuk penganut Islam dan tidak akan membabitkan masyarakat bukan Islam.
"Hudud ini dalam agama Islam, juzud daripada Islam, sokong atau tidak ia adalah asam garam daripada Al-Quran sendiri.
"Tentang hudud kita laksanakan pada orang Islam sahaja dan ia akan diluluskan oleh satu badan dipanggil kehakiman, bukan orang politik," kata beliau kepada pihak media, selepas merasmikan projek pembangunan bercampur Taman Iman Jaya, Wakaf Che Yeh, di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin, yang ditukil dalam laporan akhbar Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, kelulusan daripada badan kehakiman pula bergantung kepada syarat tertentu sebelum ia benar-benar dapat dilaksanakan.
"Jika tak cukup syarat, maka turun hudud kepada takzim, cukup syarat dia baru guna hudud, itulah sudah direkod, sudah ditulis bertahun-tahun dulu," kata Datuk Nik Abdul Aziz, semasa diminta mengulas kenyataan Timbalannya, Datuk Haron Din, baru-baru ini yang menyifatkan persetujuan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan logo PAS bermakna DAP bersetuju dengan dasar PAS.
Bagaimanapun, semasa memberi reaksinya, Pengerusi DAP, Encik Karpal Singh, berkata langkah PAS memperkenalkan hudud itu mungkin mengakibatkan konflik dan kekacauan.
"Contohnya, jika seorang Islam dan bukan Islam didakwa bersama, ia akan menjadi sukar untuk mengadakan satu perbicaraan kerana setiap satu akan didakwa di bawah undang- undang berlainan.
"Seorang Islam tidak boleh memberi keterangan bukti dalam mahkamah syariah," kata Encik Karpal, seperti ditukil oleh laporan akhbar The Star, semalam.
Beliau selanjutnya berkata Mahkamah Agung yang diketuai Hakim Tun Salleh Abas, pada 1988 telah meluluskan keputusan bahawa hanya undang-undang sekular yang akan digunakan dalam negara.
"Keputusan itu kekal sehingga hari ini," ujarnya, sambil menambah bahawa DAP tidak akan membenarkan sebarang pindaan dilakukan pada Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hudud.
Penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang, semasa ditemui di Puchong, pula menegaskan bahawa hudud tidak pernah menjadi sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama PR.
"Apabila kami bersetuju menggunakan simbol bulan PAS, ia adalah atas dasar persetujuan dengan rangka kerja dasar bersama.
"Kami semua mempunyai pandangan berbeza dalam Pakatan tetapi asalkan sesuatu idea itu tidak ada dalam rangka kerja, ia akan kekal dalam matlamat parti individu," jelasnya sambil menambah bahawa hudud tidak ada dalam rangka kerja itu.
cyberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan