Ahad, 21 April 2013


BERKEMPEN UNTUK ANAK: Dr Mahathir (kanan, bertopi) dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (depan, berkaca mata hitam), turut hadir di pusat penamaan calon di Jitra, Kedah, kelmarin, bagi menyokong Datuk Mukhriz (tengah, bersongkok).

Dun tolak Mukhriz ke pinggir?

Tapi anak Mahathir yakin beliau 'tidak akan gagal'
Dari Alor Setar, Kedah: TINDAKAN Datuk Mukhriz Mahathir bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan melepaskan kerusi Parlimen Jerlun di Kedah disifatkan sebagai berisiko tinggi.
Ini kerana jika beliau gagal, anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet kerana bukan lagi seorang ahli parlimen.
Kalau beliau menang, tetapi Barisan Nasional (BN) gagal merampas semula Kedah daripada Pakatan Rakyat, Datuk Mukhriz akan hanya menjadi wakil rakyat biasa dan tidak akan menjadi menteri besar, sebagaimana diuar-uarkan.
Oleh itu, kerjaya politik Datuk Mukhriz, yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, mungkin boleh berakhir meskipun baru bermula pada 2008.
Kemungkinan senario itu berlaku diakui sendiri Datuk Mukhriz dalam satu wawancara eksklusif dengan Berita Harian kelmarin.
"Insya-Allah, saya harap saya tidak akan gagal. Kalaulah itu keputusannya, nauzubillah, saya akan tetap berjuang dalam apa kapasiti sekalipun," katanya.
Beberapa sumber Umno memberitahu Berita Harian kerusi DUN Ayer Hitam bukan kerusi selamat meskipun penyandangnya, Encik Abdul Ghani Ahmad, daripadaParti Islam SeMalaysia (PAS) menang dalam pilihan raya umum pada 2008 dengan kelebihan 506 undi saja.
Ini yang mendorong Tun Mahathir turun padang dan berkempen bagi pihak anaknya dan juga BN di negeri kelahirannya itu.
Datuk Mukhriz dikatakan telah memilih sendiri bertanding di situ walaupun dua kerusi DUN lain turut dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan negeri sebelum ini, kata sumber itu.
Ia menambah bahawa tindakan itu mungkin bertujuan membuktikan bahawa beliau mampu menang sekalipun jika diletak di kerusi panas, lantas dapat meraih lebih banyak sokongan bagi menyatupadukan anggota Umno Kedah sekiranya dilantik sebagai menteri besar kelak.
Namun, beberapa pengamat berpendapat Datuk Mukhriz seharusnya bertanding di kededua kerusi, DUN dan Parlimen, bagi memastikan kerjaya politiknya tidak berakhir sebelum tiba waktunya.
Di sebalik risiko percaturan itu, Datuk Mukhriz, yakin beliau berkebolehan untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini memandangkan penyandang kerusi itu, Encik Abdul Ghani, seorang tokoh agama setempat, dilihat gagal melaksana tugasnya dengan baik.
"Berdasarkan rungutan yang saya terima daripada pelbagai lapisan masyarat di DUN Ayer Hitam dalam tempoh lima tahun yang lalu, bukan saja tiada pembangunan, malah soal kebajikan masyarakat, contohnya hendak baiki rumah, hendak letak tar di jalan kampung, semua itu yang paling asas yang perlu dilakukan oleh wakil rakyat, tidak dilaksanakan langsung," kata Datuk Mukhriz.
Encik Abdul Ghani, yang mempunyai kelulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang syariah dan undang-undang, menjadi Adun Ayer Hitam sejak 1999, kecuali antara 2004 dengan 2008 apabila beliau dikalahkan calon BN, Encik Othman Aziz, dengan perbezaan 860 undi.
Pada 2008, Encik Abdul Ghani menebus kekalahan itu dengan menewaskan Encik Othman.
Ditanya mengenai tanggapan bahawa Datuk Mukhriz adalah anak bandar dan akan janggal menjadi wakil rakyat berkesan kerana sebahagian besar penduduk kawasan DUN itu tinggal di kampung sawah bendang, beliau berkata:
"Saya cuba atasi persepsi itu dengan kerap turun ke padang. Malah, saya mempunyai rekod yang cemerlang dalam hal itu berdasarkan maklum balas yang saya terima daripada pelbagai pihak.
"Ada juga orang yang tinggal dalam kawasan tetapi tidak turun padang dan jumpa rakyat. Itu lagi mengecewakan rakyat sebenarnya."
Sementara itu, beberapa penduduk DUN Ayer Hitam yang ditemu ramah Berita Harian membayangkan bahawa peluang setiap calon untuk menang ialah 50-50.
Encik Rahim Mohd Zain, 48 tahun, berkata beliau akan mengundi Datuk Mukhriz kerana beliau pemimpin berwibawa dan kebajikan penduduk akan lebih terjamin di bawah BN.
"Calon PAS kurang bagi bantuan dan beliau jarang turun padang. Sumbangan yang diberikan kepada mangsa bencana alam, seperti ribut, juga kecil saja," katanya.
Encik Mat Isa Saad, 58 tahun, pula berkata jika Datuk Mukhriz jadi menteri besar Kedah, lebih banyak pembangunan boleh dijalankan di negeri itu.
Namun, bagi Cik Rashada Abdullah, 48 tahun, Encik Abdul Ghani seorang Adun berjiwa rakyat dan banyak menolong penduduk.
"Beliau pun seorang ustaz dan banyak anjurkan program usrah dan bacaan Yasin bagi penduduk. Saya mahukan seorang wakil rakyat yang berilmu agama. Pada saya, terlalu banyak kesalahan yang telah dilakukan oleh BN sebelum ini," katanya.
Cik Norliza Harun, 46 tahun, pula berkata siapa pun calon yang bertanding tidak penting asalnya calon itu daripada PAS.
"Dalam zaman sekarang, banyak cabarannya, terutama bagi anak-anak muda. Saya memilih calon yang merupakan perantaraan bagi memperjuangkan kebangkitan Islam," katanya.
cyberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan