Jumaat, 27 Mei 2011

OIC bantah resolusi draf PBB kecam Syria

May 28, 2011
Rakyat Syria yang tinggal di Jordan mengambil bahagian dalam demonstrasi anti-Presiden Bashar Al-Assad di luar kedutaan negara itu di Amman 22 Mei lalu. - Foto Reuters
NEW YORK, 28 Mei — Negara-negara Islam yang berpengaruh membantah resolusi, yang sedang dirangka Eropah untuk menggesa Majlis Keselamatan mengecam Syria, sambil menggesa agar satu bahagian berkaitan dengan mereka digugurkan.

Diplomat-diplomat Barat mendakwa aduan daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggambarkan kesukaran yang sedang dilalui kuasa-kuasa Barat ketika mereka bekerja keras untuk membawa bersama Majlis Keselamatan yang sudah pun berbelah bahagi dalam pendirian mengecam Damsyik.

Britain, Perancis, Jerman dan Portugal mengedarkan resolusi yang didraf kepada 15 negara anggota Majlis Keselamatan minggu ini. Negara kuasa veto Rusia dan China serta empat negara bukan tetap melahirkan kebimbangan mengenai draf itu, yang mengecam Syria ekoran tindakan kekerasan berdarah terhadap penunjuk perasaan antikerajaan sejak beberapa bulan lalu.

Duta OIC Ufuk Gokcen menghantar surat kepada Duta Perancis ke PBB Gerard Araud mengadu tentang kandungan dalam draf itu, yang merujuk kepada kenyataan media OIC pada 22 Mei lalu.

Dalam suratnya bertarikh 26 Mei, yang diperoleh Reuters semalam, Gokcen berkata, merujuk kepada kenyataan OIC, yang melahirkan kebimbangan mendalam berkaitan keganasan di Syria dan menggesa pasukan keselamatan mengambil pendirian berkecuali adalah sesuatu yang mengelirukan.

“Rujukan di luar konteks dalam resolusi draf kepada OIC.... kenyataan media adalah (tindakann) tidak berproduktif dan memberi gambaran campur tangan dalam hal ehwal domestik Syria yang juga dialog antara OIC dan salah satu anggota penting,” kata Gokcen.

Beliau meminta Araud, presiden Majlis Keselamatan bulan ini agar mengeluarkan bahagian itu dan mengelak daripada membuat rujukan kepada kenyataan OIC dalam resolusi ke atas Syria.

Draf resolusi itu memasukkan bahagian menyambut baik kebimbangan negara-negara Islam dengan perkembangan di Syria.

“Jelas, OIC tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan resolusi,” kata seorang diplomat Barat kepada Reuters. “Mereka tidak mahu bertindak tegas ke atas (Presiden Syria Bashar) al-Assad dalam kes ia akan menjadikan keadaan lebih buruk,” katanya.

Washington dan Kesatuan Eropah sudah pun mengenakan sekatan ke atas Bashar dan beberapa pegawai Syria yang lain.

Diplomat-diplomat Barat juga melahirkan harapan agar Rusia dan China tidak akan memberi undi veto ke atas resolusi itu, yang dijangka akan diundi minggu depan, sebaliknya akan bersikap berkecuali dan membolehkannya diluluskan.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Luar Rusia Sergei Ryabkov membayangkan kemungkinan Rusia akan memberi undi veto sambil berkata draf itu tidak kena pada masanya dan membawa kemudaratan.

“Tiada alasan untuk mempertimbangkan isu ini di Majlis Keselamatan PBB. Kami juga tidak akan membaca teks itu,” katanya. — Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan